Lampu isyarat pintar bantu cegah kemalangan jalan raya di Sarawak

KUCHING: Kementerian Pengangkutan Sarawak (KPS) mendedahkan pihaknya kini dalam proses untuk memasang lampu isyarat pintar di seluruh negeri bagi mencegah kemalangan jalan raya dengan lebih produktif.

Menterinya, Datuk Lee Kim Shin menegaskan projek induk kecerdasan buatan (AI) itu justeru dilihat mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas serta risiko kemalangan di kawasan-kawasan simpang tumpuan.

Tambah beliau, KPS turut merangka Program ABC (Awareness, Behaviour, Change) yang bakal dilaksanakan menjelang awal tahun hadapan, bertujuan membudayakan pemanduan yang berdisiplin dan berhemah dalam kalangan pemandu di negeri ini.

Katanya, perlaksanaan itu diselaraskan setelah hasil kajian menunjukkan punca utama kemalangan jalan raya adalah disebabkan oleh faktor manusia.

“Kebanyakan kemalangan jalan raya disebabkan oleh sikap pengguna itu sendiri iaitu dari segi kecuaian pengguna jalan raya dan melanggar peraturan lalu lintas.

“Oleh itu KPS mengambil langkah ini agar dapat mengubah sikap dan cara pemanduan masyarakat khususnya di Sarawak untuk menjadi lebih berdisiplin dan berhemah,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Program Keselamatan Jalan Raya OP Selamat Sempena Perayaan Hari Krismas 2020 di Boulevard, di sini, hari ini.

Kim Shin selain itu turut mendedahkan satu Jawatankuasa Pengangkutan Sarawak (JPS) khas telah ditubuhkan di peringkat bahagian bagi meninjau permasalahan yang berkaitan dengan pengangkutan di negeri ini.

Ujarnya, KPS turut mengambil alih Majlis Keselamatan Jalan Raya dan akan merangka program tertentu dalam usaha mengawal kes di negeri ini

Suara Sarawak