
BAU: Projek pemasangan 285 unit lampu solar sepanjang Jalan Bau-Batu Kitang merupakan salah satu hadiah kerajaan untuk rakyat di daerah ini.
Menteri Muda Pengangkutan Datuk Henry Harry Jinep berkata, ia dilaksanakan bagi mengutamakan keselamatan rakyat dan pengguna jalan raya.
Berdasarkan laporan dan data daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau dedahnya, jumlah kemalangan yang berlaku sepanjang jalan tersebut adalah 2,014 kes sepanjang tahun 2015 hingga 2020.
“Daripada jumlah tersebut, 68 kemalangan melibatkan kematian, 104 kes cedera parah dan selebihnya adalah mengalami cedera ringan ataupun tidak dilaporkan.
“Justeru, kerajan komited dalam mencari alternatif lain dengan menyediakan lampu jalan iaitu pembinaan lampu solar sepanjang jalan tersebut,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke SK Segong, di sini, hari ini.
Tambah Henry yang juga Adun Tasik Biru, kemudahan lampu solar tersebut telah diluluskan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dengan peruntukan kira-kira RM2 juta.
“Oleh itu, pengguna jalan raya akan dapat menikmati perjalanan yang lebih selesa dan selamat kerana ramai daripada mereka berulang alik dari bandar ke kampung untuk tugas harian dan sebagainya.
“Kita perlu lampu tersebut untuk kawasan yang gelap, selekoh tajam, jalan beralun disebabkan kuari dan sebagainya,” jelasnya lagi.