KUALA LUMPUR: Sembilan buku berkaitan terjemahan dilancarkan bersempena perasmian Persidangan Antarabangsa Penterjemahan ke-19 semalam. Pelancaran buku disempurnakan oleh Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak.
Buku-buku tersebut diterbitkan oleh IIUM Press, Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia dan PTS. Dzulkifli dalam ucapan pelancarannya berkata, dua buah buku berjudul Dilema Ahli Psikologi Islam dan Makna Anak Allah terhasil daripada projek buku terjemahan di IIUM Press.
Projek ini dimulakan apabila UNESCO memilih Kuala Lumpur sebagai Kota Buku Dunia pada 2020.
Manakala katanya, buku penterjemahan di Malaysia adalah kumpulan kertas kerja seminar penterjemahan kebangsaan yang diadakan pada 2021.
“Ini juga suatu hasil seminar tersebut yang amat berharga,” kata beliau.
Buku-buku berjudul Mengenali Ekonomi Menerusi Kartun Jilid Satu dan buku Mengenali Ekonomi Menerusi Kartun Jilid Dua adalah buku yang hasilkan daripada kerjasama penerbitan bersama antara IIUM Press dengan ITBM.
Dalam kedua-dua buku ini penulisnya cuba menyampaikan ilmu ekonomi secara ringan, santai dan menghibur dengan menggunakan kartun.
Bentuk, gaya dan kaedah ini bersesuaian dengan tabiat membaca generasi pada masa ini yang lebih gemar membaca imej.
Menurut Dzulkifli, ini suatu contoh perkongsian pintar yang diwujudkan antara IIUM Press dengan ITBM yang patut digalakkan.
“Selain dapat menjimatkan kos penerbitan buku terjemahan yang mahal, kerjasama ini juga dapat mempercepat penerbitan buku terjemahan supaya ilmu pengetahuan segera sampai kepada pembaca yang dahagakan ilmu pengetahuan,” ujarnya.
Dua buah buku terbitan DBP yang akan dilancarkan pula merupakan buku yang memperkatakan tentang penterjemahan.
Buku Penterjemahan Struktur Bahasa Asing dalam Bahasa Melayu dan buku Kaedah, dan buku Teknik dan Fenomena Terjemahan Bahasa Cina – Bahasa Melayu.
Kedua-dua buku ini amat diperlukan oleh profesional dalam bidang penterjemahan dan akan dapat membantu memajukan bidang ini.
Buku terjemahan terbitan penerbit PTS iaitu, The 10 Habits of Happy Mothers dan Think and Grow Rich adalah buku berbentuk motivasi yang sangat penting dibaca oleh rakyat negara ini.