Langgar PKPD : Pasangan suami isteri ditahan

BINTANGOR : Polis menahan sepasang suami isteri kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Superitendan Polis (DSP) Sekam Anoi berkata, penahanan pasangan yang masing-masing berusia 44 dan 43 itu dilakukan selepas Polis menerima maklumat daripada orang ramai.

“Kedua-dua mereka didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan 14 (Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) PPPPB 2021 kerana tidak mematuhi arahan Ketua Pengarah.

“Susulan itu, Polis mengeluarkan kompaun berasingan yang membawa denda maksima RM1,000 seorang ke atas pasangan suami isteri ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, penunggang turut di saman kerana memandu tanpa lesen yang sah manakala, motosikal yang dinaiki mereka turut dirampas.

Sehubungan itu, orang ramai diseru untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), duduk di rumah khususnya bagi penduduk dari kawasan yang dikenakan sekatan di bawah PKPD.

Pada masa yang sama, ketua masyarakat dan tuai rumah perlu memainkan peranan dalam memastikan anak buah masing-masing sentiasa mematuhi undang-undang dan SOP. Ini amat penting demi mengelak kesusahan pada diri sendiri,” tegasnya.

Suara Sarawak