Langkah bendung gelombang baharu COVID-19 di Sarawak, Kedah antara tumpuan Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat yang memasuki hari ke-15 hari ini dijangka tertumpu kepada perkara berkaitan langkah kerajaan untuk mencegah berlakunya gelombang baharu COVID-19 di Kedah dan Sarawak.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman rasmi Parlimen, isu berkenaan diajukan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) kepada Menteri Kesihatan semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan hari ini.

Yii juga ingin tahu mengenai status kes wabak COVID-19 termasuk jumlah ujian saringan yang telah dijalankan di kedua-dua negeri berkenaan.

Datuk Seri Mahdzir Khalid (BN-Padang Terap) pula dijadual bertanyakan Menteri Pertanian dan Industri Makanan mengenai mekanisme dan langkah konstruktif yang dirangka kerajaan bagi meningkatkan sekuriti makanan dalam negara terutamanya ketika menghadapi krisis seperti bencana wabak.

Seterusnya, sidang Dewan Rakyat akan menyambung penggulungan perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong yang dijangka melibatkan enam kementerian antaranya Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 25 hari sehingga 27 Ogos berpandukan kebiasaan baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19.

— BERNAMA

Suara Sarawak