Trending

Langkah bijak dan terpuji

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

VISI dan inisiatif Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memperkenal serta melaksanakan ekonomi digital dan teknologi pada 2017 dengan mencontohi kejayaan inisiatif e-Kerajaan Estonia sangat dipuji dan mencapai ke arah negeri maju menjelang 2030.

Pendekatan dan dasar ekonomi digital ini tidak hanya tertumpu di kawasan bandar, sebaliknya usaha dijalankan untuk mengembangkannya ke kawasan luar bandar dengan agenda untuk menjadikan negeri ini sebagai hab industri berteknologi tinggi.

Antara inisiatif yang telah dilaksanakan adalah membangun aplikasi S Pay Global (sebelum ini dikenali sebagai Sarawak Pay) semakin meningkat penggunaannya, sebagai bukti setakat September 2020 Sarawak Pay mencatat sejumlah 13.789 juta transaksi dengan nilai RM588 juta.

Di samping itu, Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) juga membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi dengan memperkasakan ekonomi digital melalui rangkaian jalur lebar yang lebih baik.

Bahkan, pelaksanaan pelbagai program latihan keusahawanan dan bantuan kewangan seperti forum e-dagang, Latihan Pemasaran Digital, Bengkel Pemasaran Dalam Talian, Youtube Creative Content for Social Entrepreneur, Usahawan e-Dagang, geran e-Dagang dan Program Go Digital juga dilihat sebagai mewujudkan ekosistem e-dagang.

Mengulas kenyataan tersebut, Ketua Strategik dan Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Dr Nur Zaimah Ubaidillah berkata, terdapat pelbagai manfaat pendigitalan ekonomi di Sarawak.

“Pertama sekali, ia menyumbang terhadap pertumbuhan ekonomi dengan mengembangkan peluang perniagaan serta mencipta peluang pekerjaan.

“Ini kerana, disebabkan oleh perkembangan teknologi Internet dan telefon pintar, ekonomi digital mampu menggalakkan perubahan minda, baik secara individu mahupun dalam organisasi dari sudut operasi serta dalam membuat keputusan bagi ekonomi dan perniagaan,”ujar beliau.

Tambah beliau, buktinya penggunaan S Pay Global yang mempunyai 443,396 pengguna dan 64,254 peniaga serta dijangka mendapat liputan meluas secara global.

Lantaran itu jelas beliau, ia adalah satu cabang dalam ekonomi digital iaitu gig ekonomi juga menyumbang kepada peluang pekerjaan kepada anak tempatan terutama dalam khidmat pesanan dan penghantaran makanan.

“Selain itu, ekonomi digital juga mampu menyediakan akses kepada perolehan barangan dan perkhidmatan yang menyokong operasi perniagaan dalam sektor perindustrian dan perdagangan.

SDEC dilihat sebagai salah satu pemacu dalam pendigitalan ekonomi di Sarawak,” katanya.

Dr Nur Zaimah percaya pelbagai usaha serta jalinan kerjasama merangkumi sektor awam serta swasta demi merealisasikan hasrat murni tersebut termasuk Sarawak Rural Broadband Network (MySRBN) untuk meningkatkan liputan jalur lebar di kawasan luar bandar serta Inisiatif Go Digital untuk meningkatkan keterlibatan perusahaan kecil sederhana (PKS) dalam meluaskan rangkaian pasaran mereka.

Melihat perspektif positif, beliau percaya ekonomi digital juga dapat menggalakkan pembangunan ekonomi secara global dan meningkatkan produktiviti industri sedia ada secara mikro dan makro.

Hal ini demikian kerana ekonomi digital merangkumi model perniagaan berasaskan platform, pasaran dan rangkaian yang sangat luas (secara domestik dan global), dan meliputi skala ekonomi.

“Ekonomi digital meningkatkan keterlihatan (visibility) serta kebolehpasaran produk domestik menjangkaui pasaran domestik (Sarawak), selari dengan liberalisasi pasaran dan mengurangkan halangan perdagangan yang wujud di pasaran tradisional/konvensional,” jelasnya.

Malah ujar beliau, perkara ini juga dapat membantu dalam pembangunan dan transformasi ekonomi di luar bandar.

Dalam jangka masa panjang pula, beliau berkata, inisiatif digitalisasi menjurus kepada kadar pelaburan dan inovasi yang tinggi, yang membawa kepada kemajuan teknologi yang pesat kepada pengusaha tempatan yang terbabit dalam sektor tersebut.

Sementara itu Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Dr Muhammad Asraf Abdullah percaya usaha Kerajaan Sarawak melalui penekanan kepada kepentingan ekonomi digital adalah tepat pada waktunya, ketika ekonomi dunia mula mengorak langkah ke arah penekanan kepentingan ekonomi digital sebagai sumber pertumbuhan ekonomi abad ini.

“Ini dapat dilihat berdasarkan kronologi penubuhan badan-badan dan agensi-agensi yang menyokong promosi dan pembangunan digitalisasi ekonomi di negeri ini, seperti SMA, SDEC dan TVS.

“Golongan peniaga termasuk usahawan muda dilihat antara kumpulan yang bakal menerima limpahan positif hasil usaha-usaha pendigitalan ekonomi oleh Kerajaan Sarawak,” jelas beliau.

Tidak cukup dengan itu, tambah beliau, penubuhan TEGAS Digital Village umpamanya, merupakan satu usaha inovasi digital dan keusahawanan yang bijak dengan bantuan dana daripada kerajaan negeri sebagai usaha untuk menyokong langkah awal permulaan perniagaan oleh bakal usahawan.

“Semua inisiatif Kerajaan Sarawak ini, saya kira bakal menjadikan Sarawak, antara negeri yang terawal di Malaysia yang akan menikmati manfaat limpahan ekonomi daripada kesan pertumbuhan ekonomi yang dipacu oleh ekonomi digital pada masa akan datang,” katanya.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

7 December 2023

Berita Terbaru