ARTIKEL

Karikatur : Ukee

Langkah ke bilik guru

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

ORANG kata: Kalau nak hidup senang, jadilah guru.

Dan kalau mahu pendapatan yang baik diterima setiap hujung bulan, jadilah guru.

Sebab itu, ramai ibu bapa mahu anak mereka menjadi seorang guru apabila sudah besar kelak.

Dan, ketika berkunjung ke rumah kenalan yang kini bekerja sebagai dekan di sebuah universiti, dia turut mengatakan perkara yang sama kepada dua anak saya: “Jadi cikgu jak abang, adek…

Sebab cikgu memang sentiasa ada kekosongan sampai bila-bila”.

Dia seronok apabila mendengar ada pelajar yang bercita-cita hendak menjadi guru.

Bukan kerana dia pernah bekerja sebagai pensyarah dan isterinya kini juga seorang guru, tetapi Sarawak begitu memerlukan guru dalam kalangan anak Sarawak itu sendiri.

Pun demikian, dia menegaskan: Untuk menjadi guru, mesti ada minat.

Untuk itu, dia memotivasikan anak saya supaya memupuk minat menjadi guru sejak di bangku sekolah lagi.

“Cipta lorong menuju ke maktab perguruan.

Keluar dari maktab, sudah pasti ada kerja,” nasihatnya.

Pekerjaan sebagai guru jelasnya lagi, bukannya tugas yang mudah.

Tanggungjawab guru sangat besar.

Guru bertanggungjawab mendidik setiap anak bangsa untuk masa depan negara yang lebih cerah.

Bukan setakat cemerlang akademik dan kokurikulum, tetapi juga cemerlang sahsiah tahap tinggi.

Saya sendiri pernah merasai kepayahan menjadi seorang guru.

Selepas tamat tingkatan enam, sekitar awal 1997, saya ditawar menjadi guru ganti selama dua minggu di SMK Green Road, Kuching.

Saya menjadi guru pengganti guru perempuan yang bercuti panjang.

Hari pertama, memang sukar untuk saya menyesuaikan diri.

Saya mengajar subjek Pendidikan Seni tingkatan satu, dua dan tiga.

Saya tiada apa-apa persediaan.

Cuma ada satu buku panduan pengajaran Pendidikan Seni yang dibekalkan oleh pihak sekolah.

“Selamat tengah hari cikgu,” ucap pelajar tingkatan satu ketika saya mula memasuki kelas.

Kaki seolaholah kaku hendak melangkah ke dalam kelas.

“Selamat pagi… sila duduk,” sambut saya atas ucapan pelajar-pelajar saya.

“Apa yang hendak aku buat?”

Soalan yang tiba-tiba menjengah fikiran.

Nasib baik teringat situasi hari pertama cikgu ganti masuk ke dalam kelas ketika saya masih bersekolah dahulu.

Saya perkenalkan diri.

Kemudian saya minta pelajar-pelajar saya memperkenalkan diri masingmasing.

Di dalam kelas itu, pelajarnya berbilang kaum dan agama.

Setelah berkenalan, saya tanya pelajar-pelajar saya setakat mana belajar Pendidikan Seni.

“Kami sepatutnya belajar melukis potret cikgu,” terang seorang pelajar.

Teringat dengan arahan Cikgu Noren di SMK Tunku Abdul Rahman, Kuching dulu.

Saya tiru gaya Cikgu Noren berkomunikasi dengan pelajar — sebab Cikgu Noren ialah guru Pendidikan Seni.

Saya arahkan pelajar keluarkan kertas lukisan dan mula melukis potret.

“Cuba tiru teknik melukis menggunakan teknik… (saya pun tidak ingat lagi),” arah saya yang diikuti pelajar.

Sambil mereka melukis, saya pergi ke setiap meja pelajar menerangkan cara melukis.

“Kringgggg…….” Saya lega.

Bunyi yang saya nanti-nantikan kedengaran.

Bunyi loceng sekolah menandakan tamat masa untuk subjek Pendidikan Seni.

Duduk di dalam bilik guru, memang sangat kekok.

Saya baru berusia 20 tahun duduk sebilik dengan guru yang sudah berpuluh-puluh tahun menjadi guru.

“Bagaimana hari pertama cikgu?” tanya seorang guru.

Jawab susah, tidak dijawab takut orang katakan kita sombong.

“Alhamdulillah,” jawab saya.

Saya menjadi guru ganti selama dua minggu.

Dapat juga merasa gaji daripada duit kerajaan.

Selepas dua minggu, saya menerima surat ujian menjadi guru.

Ujian kali pertama saya gagal. Ujian kali kedua pun gagal. Tiada nasib jadi guru.

Tempoh dua minggu memang terasa panjang. Bukan mudah sebenarnya mengajar pelajar, apatah lagi pelajar ada macammacam kerenah. Ada yang asyik hendak ke tandas.

Ada yang bising di dalam kelas, tidur di dalam kelas dan tidak mahu membuat kerja yang diberikan.

Atas sebab itu, saya hormat sangat dengan kehebatan individu yang bergelar guru mendidik anak-anak saya serta yang pernah mendidik saya ketika bersekolah dahulu. Tabik kepada semua guru seluruh Malaysia.

HARI GURU

Lusa, 16 Mei ialah hari penghargaan kepada mereka yang bergelar guru.

Teringat pula dengan Ustaz Abdul Latif yang pernah mengajar saya. Saya sempat bersua muka dengannya tahun lepas, yang pertama selepas kali terakhir pada 1995.

Melihatnya saya dapat gambarkan satu perkara: Guru tetap guru. Walau selama mana pun tidak bersua muka, nasihatnya kepada kami (bekas pelajar) tetap seperti waktu sekolah dahulu.

Baginya, kami tetap seperti pelajarnya walaupun ada dalam kalangan kami sudah pun mempunyai cucu.

Gembira wajah Ustaz Abdul Latif melihat kami benar-benar menjadi “orang” — masing-masing ada pekerjaan yang baik seperti diharapkan oleh beliau.

Lebih mencerikannya apabila kami anak didiknya sanggup meluangkan masa untuk berjumpa dengannya dalam kunjungannya ke Kuching.

Beliau menetap di Semenanjung Malaysia.

Sempena sambutan Hari Guru 2024 bertemakan “Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara Madani”, ini masa untuk menghargai peranan sesiapa sahaja yang bergelar guru.

Bagi saya, sambutannya tidak hanya kepada guru di sekolah, tetapi sesiapa sahaja yang mendidik kita dalam apa-apa hal yang baik.

Ini masa menunjukkan penghormatan kepada guru, walaupun cara sambutannya berbeza-beza. Apa-apa pun, semasa sambutan ini, guru akan menjadi sangat sporting.

Mereka berubah karakter untuk menghiburkan setiap anak didik.

Mereka menyanyi, berlakon, mendeklamasikan sajak dan syair serta pelbagai lagi aktiviti lain.

Paling menjadi tumpuan ialah anugerah guru paling popular yang pemenangnya dipilih berdasarkan siapa paling banyak menerima hadiah daripada pelajar.

Selain itu, didik anak-anak kita agar jangan hanya menunjukkan penghargaan kepada guru hanya pada setiap 16 Mei setiap tahun.

Penghargaan yang diharapkan oleh setiap guru hanya untuk melihat kejayaan setiap anak didiknya dalam akademik, kokurikulum serta sahsiah.

Ini pelengkap kejayaan seorang guru.

Hadam kata mutiara ini, “Jika kamu menempatkan seseorang di atas tumpuan, letakkan guru. Mereka ialah pahlawan masyarakat.”

Kepada pelajar yang ingin menjadi guru, atur langkah dari sekarang untuk melangkah ke dalam bilik guru sebagai guru terlatih suatu hari kelak. 

BERITA LAIN

Kita saling mengingati

PADA minggu depan minggu terakhir 20 pelatih universiti akan menamatkan latihan industri di organisasi kami. Sesungguhnya kami berbangga kerana menjadi pilihan universiti meletakkan pelajar mereka

Affandi Tahir, rakam sejarah melalui pita

BELIAU bukan seorang penyanyi. Beliau juga bukan seorang pelakon. Tetapi namanya cukup popular suatu ketika dahulu. Bukan hanya kerana ketampanannya, tetapi kerana beliau penyiar radio

Telus, sahih dan tepat

SEBELUM ada komputer dan telefon bimbit canggih seperti hari ini, wartawan bergantung kepada komputer di pejabat untuk menulis berita. Dan biasanya wartawan hanya akan berada

Ketagih subsidi

ISU berkaitan subsidi kembali hangat diperkatakan. Adakah pemberian subsidi sesuatu yang harus terus diamalkan ketika beban hutang negara semakin membengkak? Bagaimanakah reaksi rakyat apabila subsidi

Tragedi dunia maya Si Kucing Gendut

FAT Cat, 21, atau nama sebenarnya Liu Jie, selebriti dunia gamer – permainan popular Honour of Kings – namanya tiba-tiba melonjak di dunia maya khususnya

Zaman makin canggih, adab makin mundur

KETIKA masih kanak-kanak atau zaman sekolah sekitar tahun 90-an atau awal 2000, kita amat menghormati orang lebih tua terutama ibu bapa. Ini kerana kebanyakan kita

BERITA TERBARU