Langkah ke era baharu

RAMAI dalam kalangan kita tidak sedar bahawa kita sedang melangkah ke era baharu iaitu era digitalisasi.

Penularan wabak Covid-19 sebenarnya mempercepat proses ke arah digitalisasi masyarakat kerana semua memerlukan perhubungan tanpa sentuh.

Kita juga tidak sedar Covid-19 mengubah cara hidup masyarakat ke arah minimal iaitu kehidupan yang sederhana.

Masyarakat mula sedar kita tidak perlu mengadakan majlis perkahwinan, majlis keramaian dan kenduri secara besar-besaran.

Kita sudah lupa cara kehidupan kita yang bermewah dan membazir mendapat teguran daripada Allah SWT.

Inilah makhluk Allah yang bernama Covid-19 mengubah manusia secara keseluruhan tanpa disedari.

Maka, dihantarkan wabak ini untuk menegur manusia yang lupa daratan kerana sifat tamak haloba.

Selain itu, kita juga tidak menjangkakan pertumbuhan usahawan digital kerana mahu meneruskan perniagaan tanpa merisikokan diri daripada dijangkiti wabak tersebut.

Saranan kerajaan untuk terus duduk di rumah menyebabkan usahawan mencari alternatif baharu.

Alternatif baharu itu ialah beralih kepada perniagaan dalam talian tanpa memerlukan usahawan berurusan dengan pelanggan secara fizikal.

Ini menjadikan usahawan menjadi lebih kreatif dan inovatif demi kelangsungan perniagaan mereka dalam musibah wabak ini.

Walaupun asas digital sudah ada sebelum wabak Covid-19, namun wabak tersebut memaksa seluruh umat manusia beralih kepada digital.

Kita juga tidak menjangkakan penggunaan e-dompet menjadi keperluan, pada hal hanya satu kehendak atau trend.

Malah kita tidak menjangkakan pembelajaran dalam talian terpaksa dilakukan untuk mengurangkan risiko wabak Covid-19.

Perhubungan manusia tanpa sempadan dengan adanya teknologi Internet pantas iaitu 5G yang dilancarkan pada tahun lalu.

Begitulah sifat lumrah manusia yang secara semula jadinya mencari jalan demi kelangsungan hidup mereka.

Kita perlu berterima kasih kepada teknologi kerana teknologi menjadikan sesuatu yang mustahil menjadi realiti.

Malah kita telah pun dapat melakukan perkara yang mustahil pada suatu ketika dahulu.

Bayangkan jika kita masih hidup dalam keadaan teknologi yang serba-serbi kekurangan lebih-lebih lagi diancam pandemik Covid-19.

Inilah hikmah yang berlaku di sebalik musibah Covid-19 dan kita perlu ambil pengajaran itu sebagai sesuatu yang positif.

Sebagai hamba Allah di muka bumi, kita tidak sewajarnya terus merungut, “bila lagi wabak ghaib ini akan berakhir?”

Sebaliknya kita perlu bermuhasabah diri, menilai segala kekurangan, betapa kerdilnya kita.

Apa yang perlu kita lakukan sekarang ini ialah usaha dan doa berterusan, mengikut pegangan agama masing-masing.

Sebagai rakyat biasa yang berada di barisan belakang, kita tetap mempunyai peranan tersendiri.

Tentunya kita sudah berpengalaman menempuhi prosedur operasi standard (SOP) yang mula diperkenal sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac tahun lalu.

Jadi tiada alasan bagi kita untuk tidak mengetahui segala SOP yang telah digariskan.

Jangan jadikan ia, sebagai perkara yang remeh, misalnya tidak menggunakan pelitup muka dengan cara yang betul, atau kerap melanggar garis panduan ketika berada di tempat awam.

Sikap leka inilah menyebabkan wujudnya kluster baharu, tanpa kita duga dan jangka.

Oleh itu, jangan biarkan angka kes positif harian di seluruh Malaysia terus mencecah angka lebih 5,000.

Selagi angka jangkitan dan kes baharu tidak menurun, maka selagi itulah wabak ini melekat di negara kita.

Jadi, sama-samalah kita menanganinya dan memeranginya hingga ke akar umbi.

Ini adalah peperangan bagi semua golongan rakyat, tanpa mengira pangkat dan darjat, dan sekarang ini bukanlah masa untuk saling menuding jari, tetapi masa untuk kita saling berganding bahu.

Suara Sarawak