Langkah pertama anak Penan jadi pelaut

MIRI: Tiga pemuda kaum Penan mengambil langkah pertama untuk mencapai cita-cita menjadi pelaut apabila mendaftar di Akademi Maritim Pelita Maslaut di sini pada Isnin.

Ketiga-tiga mereka akan mengikuti Program Perintis Dek Marin iaitu latihan teori selama tiga bulan di akademi dan kursus praktikal bersama-sama syarikat perkapalan selama enam bulan.

Roseli Gau, 23, berasal dari Long Lunyim berkata, dia memilih kursus pelaut di Miri dengan impian untuk menjadi pelaut berjaya dalam industri perkapalan serta minyak dan gas.

“Saya datang ke sini dari jauh dengan harapan untuk menjadi pelaut yang berjaya pada masa akan datang.

“Tidak dinafikan ia cabaran kepada saya untuk datang ke sini kerana ada ramai pemohon lain, namun semuanya berbaloi apabila saya terpilih untuk menjadi pelatih di Pelita Maslaut,” katanya kepada Suara Sarawak di sini, semalam.

Roseli mengucapkan terima kasih kepada pihak akademi yang memberi peluang kepadanya dan nekad untuk mengikut latihan itu dengan tekun.

Sementara itu, Jeffery Melai, 19, berasal dari Long Lunyim, Long Pelutan Baram mengakui dia tertarik untuk mengikut kursus pelaut itu selepas melihat iklan.

“Saya berminat setelah melihat iklan dan terus memohon untuk mengikuti kursus walaupun masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Long Lama,” katanya.

Tambahnya, setelah lulus kelak, dia akan meneruskan dan meluaskan pengalamannya dengan merantau di kapal.

Manakala bagi Larry Langup, 23, dari Long Sayan, Baram pula, menjadi seorang pelaut adalah impiannya sejak kecil.

“Saya ingin menjadi orang pertama sebagai pelaut antara adik-beradik saya dan berharap ini dapat menggalakkan mereka untuk mencapai kejayaan dalam minat masing-masing,” katanya.

Sebelum itu, seramai 25 pelatih baharu pelbagai etnik mendaftar di Akademi Maritim Pelita Maslaut di Lutong semalam untuk mengikuti Program Perintis Dek Marin tajaan Unit Perancangan Negeri (SPU) Sarawak.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Akademi Maritim Pelita Maslaut, Masni Amit, Kaunselor Abdullah Jaini, para tenaga pengajar dan ibu bapa pelatih.

Suara Sarawak