Langkah proaktif tempuhi era baharu

SARIKEI: Penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak merupakan inisiatif yang mampu memberi manfaat besar kepada rakyat dalam tempoh jangka panjang. Adun Daro Safiee Ahmad berkata, usaha itu membuktikan Sarawak berpandangan jauh melalui kunci utama yang dirangka di bawah Strategi Pemulihan Ekonomi Pasca-Covid-19.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak mengenal pasti langkah proaktif bagi menempuhi era baharu dengan memberi tumpuan kepada dua prinsip utama iaitu ekonomi digital dan kelestarian alam sekitar. “Ini menunjukkan kami (kerajaan) membuat persiapan awal supaya rakyat lebih bersedia dan melengkapkan diri dengan perubahan iklim ekonomi dunia.

“Tidak sekadar itu, rakyat juga perlu menyesuaikan diri dengan perubahan kebiasaan baharu dalam kehidupan selepas pandemik ini berakhir,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak semalam.

Safiee berkata, pembentangan yang dibuat oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bersifat umum sebagai kerangka konseptual.

Sehubungan itu katanya, Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak yang akan dibentuk terdiri daripada pemegang taruh yang mempunyai kepakaran dan pengalaman tertentu termasuk pihak NGO, ahli-ahli profesional dan pakar akademik akan membincangkan serta memperincikan setiap strategi berkenaan untuk disiapkan pada September depan.

Tindakan itu katanya, bertujuan memastikan Sarawak berada pada landasan yang betul untuk mencapai status negeri termaju menjelang 2030.

“Saya menggesa dan mengingatkan rakyat agar bersedia menerima perubahan pasca-Covid-19 yang pastinya akan mengubah kebiasaan kita kepada kebiasaan baharu, termasuk dunia perniagaan dan pekerjaan. “Justeru itu, setiap individu perlu mula membiasakan diri dengan dunia digital.

Kita di Sarawak bertuah kerana Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Abang Johari telah memperkenal dan memberi penekanan kepada Ekonomi Digital sejak beliau dilantik sebagai Ketua Menteri pada 2017 lagi,” katanya.