ARTIKEL

Langkah sumbang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KITA masih berada dalam Bulan Kemerdekaan.

Bulan Kemerdekaan dan Hari Kebangsaan bertujuan untuk menyemarakkan semangat nasionalisme dan patriotisme dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di seluruh Malaysia.

Justeru, atas semangat nasionalisme dan kebangsaan, semua negeri untuk sekian lama, tanpa mengira pegangan politik, telah menggunakan tema dan logo Hari Kebangsaan yang sama.

Langkah empat negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) mungkin menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza untuk sambutan peringkat negeri, berbanding menggunakan logo dan tema yang diumumkan di peringkat persekutuan tentu bercanggah dengan matlamat dan semangat berkenaan.

Melalui Hari Kebangsaan, kita hendak mengukuhkan kesepaduan sosial dan perpaduan dalam kalangan rakyat dan negeri di Malaysia.

Kita hendak melangkah ke hadapan sebagai sebuah negara dengan kesatuan padu. 

Kita hendak bergerak seiring dan sejalan.

Hari Kebangsaan ialah acara nasional, dan bukannya acara negeri.

Maka, ia harus disambut bersama, dengan mengetepikan perbezaan ideologi politik.

Ini bukan masa untuk meniupkan sentimen politik kepartian dan politik kenegerian.

Pemimpin politik yang berjiwa besar tidak akan mengambil jalan singkat untuk memenuhi agenda politik sempit jangka pendek.

Ada perkara yang dapat dipolitikkan, tetapi bukan semua perkara dapat dipolitikkan, termasuk Hari Kebangsaan.

Janganlah kerana kepentingan politik sempit, pemimpin politik sanggup melakukan perkara yang boleh merosakkan masa depan negara. 

Untuk sekian lama, rakyat dan pemimpin berusaha untuk membina negara ini sebagai negara yang bersatu padu, maju, makmur dan stabil.

Usahlah terlalu taasub dan jumud dengan kepentingan parti. 

Hari Kebangsaan melangkaui kepentingan parti dan negeri, maka bertindak matang, rasional dan bijaklah apabila meraikannya dengan tidak mencetuskan sebarang bibit keraguan dan kebencian dalam kalangan rakyat.

Bantulah usaha untuk membina sebuah negara bangsa yang progresif.

Jadi, apabila Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari mengumumkan kemungkinan Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diperintah parti itu menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan Pemuda PN, ini dapat disifatkan sebagai langkah sumbang.

Logo yang diperkenalkan Pemuda PN berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan serta mengambil elemen warna yang terdapat pada Jalur Gemilang, dengan tema ‘Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera’.

Logo ini dilaporkan adalah untuk sambutan rasmi Hari Kebangsaan PN sama ada digunakan dalam ucapan pimpinan (PN), khususnya peringkat Pemuda dan parti yang bernaung di bawah PN.

Rakyat yang sayang akan Malaysia, perlu membidas langkah yang diambil oleh pihak PN. Bagi saya, langkah sumbang dan tidak bertanggungjawab itu ialah tindakan bersifat politik. 

Kelihatannya, PN tidak henti-henti mahu mencetuskan pertelingkahan dan kebencian politik dalam kalangan rakyat dengan cadangan menggunakan tema dan logo berbeza sempena Hari Kebangsaan ke-66 di empat negeri ditadbirnya.

Sepatutnya, sambutan kemerdekaan menjadi wadah mengukuhkan dan memantapkan perpaduan dalam kalangan rakyat dan negeri.

Ia tidak seharusnya dijadikan sebagai alat untuk mengadu domba dan membangkitkan sengketa yang memecahbelahkan masyarakat. 

Hari Kebangsaan sebagaimana namanya adalah bersifat kebangsaan yang inklusif sifatnya. 

Adakah PN cuba mewujudkan jurang sosial dan perbalahan dalam kalangan rakyat?

Sepatutnya selepas PRU dan PRN di enam negeri baru-baru ini, PN berusaha untuk membantu Kerajaan Perpaduan menyatupadukan rakyat. 

 Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengumumkan ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’ diangkat sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2023.

Logo Malaysia MADANI diangkat menjadi logo rasmi sambutan HKHM 2023, yang memiliki reka bentuk logo yang unik dan simbolik dengan ‘tangan yang sedang diangkat, untuk melafazkan ikrar Rukun Negara’.

Sebaliknya, PN memperkenalkan logo berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan digabungkan elemen warna pada Jalur Gemilang dengan tema ‘Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera’.

Sampai bilakah kita terus berpolitik dan bermain politik?

Sampai bilakah kita mengeksploitasi sentimen rakyat hanya untuk memenuhi agenda politik parti?  

Tidakkah kita sedar bahawa, kesan dan implikasi yang dilakukan itu adalah amat mendalam.

Bendera dan logo parti sesuai untuk acara parti dan kempen politik.

Bendera dan logo negeri ada tempatnya.

Ini ialah masa untuk mengangkat bendera kebangsaan dan sama-sama meraikan Hari Kebangsaan. 

Semua parti politik, tidak kira parti dalam Kerajaan Perpaduan atau PN, harus menggemblengkan tenaga untuk mewujudkan Malaysia yang aman, harmoni dan bersatu padu; dan bukannya Malaysia yang berpecah belah.

Kita perlu bersatu hati dalam hal berkaitan kepentingan dan masa depan negara. 

Tidakkah PN terfikir akan kesannya terhadap generasi muda termasuk murid-murid sekolah?

Apakah mesej yang hendak disampaikannya melalui tindakan tersebut?

Sudahlah ketika ini semangat dan keghairahan untuk meraikan Hari Kebangsaan tidak begitu bersemarak, tindakan sedemikian tentu akan memburukkan lagi keadaan.

Kemerdekaan bukan sekadar membebaskan tanah air daripada penjajahan. 

Sebaliknya, antara tanda kemerdekaan adalah cara kita berfikir, bertindak laku dan bertindak.

Kita harus mengelak daripada bertelingkah sepanjang masa kerana pertelingkahan sedemikian merugikan negara dan rakyat.

Kita perlu mengelak daripada sentimen perkauman, keagamaan dan kenegerian yang melampau.

Sebaliknya kita perlu berterusan memupuk kesepaduan sosial, perpaduan kaum dan agama, serta integrasi nasional.

• Dato Dr Jeniri Amir ialah penganalisis politik dan Felow Kanan Majlis Profesor Negara.

BERITA LAIN

Kita saling mengingati

PADA minggu depan minggu terakhir 20 pelatih universiti akan menamatkan latihan industri di organisasi kami. Sesungguhnya kami berbangga kerana menjadi pilihan universiti meletakkan pelajar mereka

Affandi Tahir, rakam sejarah melalui pita

BELIAU bukan seorang penyanyi. Beliau juga bukan seorang pelakon. Tetapi namanya cukup popular suatu ketika dahulu. Bukan hanya kerana ketampanannya, tetapi kerana beliau penyiar radio

Telus, sahih dan tepat

SEBELUM ada komputer dan telefon bimbit canggih seperti hari ini, wartawan bergantung kepada komputer di pejabat untuk menulis berita. Dan biasanya wartawan hanya akan berada

Ketagih subsidi

ISU berkaitan subsidi kembali hangat diperkatakan. Adakah pemberian subsidi sesuatu yang harus terus diamalkan ketika beban hutang negara semakin membengkak? Bagaimanakah reaksi rakyat apabila subsidi

Tragedi dunia maya Si Kucing Gendut

FAT Cat, 21, atau nama sebenarnya Liu Jie, selebriti dunia gamer – permainan popular Honour of Kings – namanya tiba-tiba melonjak di dunia maya khususnya

Zaman makin canggih, adab makin mundur

KETIKA masih kanak-kanak atau zaman sekolah sekitar tahun 90-an atau awal 2000, kita amat menghormati orang lebih tua terutama ibu bapa. Ini kerana kebanyakan kita

BERITA TERBARU