LIMA tahun sudah berlalu.
Pada 2018 Sarawak memulakan Strategi Ekonomi Digital yang diunjur untuk dilaksanakan sehingga 2022.
Menetapkan hala tuju merancakkan ekonomi digital agar berada di barisan hadapan dunia digital, pemimpin Sarawak meninjau serta mempelajari kejayaan ekonomi digital dengan beberapa negara seperti Australia, Finland, Estonia, Jerman, Perancis dan China.
Seiringan dengan Persekutuan, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil percaya, Malaysia kini berada pada landasan tepat untuk menjadi “Harimau digital Asia” sejajar usaha negara menghampiri dekad keemasan digitalnya.
Malaysia sendiri memberi tumpuan memperkukuh infrastruktur 5G sehingga mencapai sasaran liputan rangkaian 5G sebanyak 80 peratus di kawasan berpenduduk (CoPA) menjelang akhir 2023.
Setakat 31 Julai 2023, rangkaian 5G Malaysia sudah berada pada 66.8 peratus CoPA.
Manakala, 4G mencapai 96.2 peratus CoPA di seluruh negara.
Dua tahun lagi, pada 2025 ekonomi digital Malaysia diunjur menyumbang 25.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau lebih RM382 bilion selain mewujudkan 500,000 peluang pekerjaan.
Manakala, pada peringkat Asean, pakar yakin ekosistem digital sedang terbentuk di Asia Tenggara yang memfokuskan orientasi pelanggan.
Asean diyakini memiliki banyak potensi pertumbuhan, didukung fundamental kuat termasuk lebih 460 juta konsumen digital, populasi muda yang celik teknologi, serta peningkatan dalam kadar tembusan Internet.
ASEAN
Ekonomi digital di enam negara Asean; Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam terus tumbuh sebesar 6 peratus setiap tahun.
Pada 2030 jumlah nilai pasaran ekonomi digital Asean diramalkan menembusi AS$1 trilion (RM4.64 trilion).
Ekonomi digital Indonesia dilaporkan menjadi yang terbesar di Asia Tenggara sebesar AS$236 bilion (RM1 trilion) menjelang 2030 berbanding 2022 bernilai AS$77 bilion (RM357.4 bilion).
Manakala, ekonomi digital Vietnam pula mampu mencapai sehingga AS$200 bilion (RM928 bilion) pada 2030.
Ekonomi digital Filipina dijangka menyentuh sehingga AS$150 bilion (RM696 bilion) pada 2030.
Ketika ini, negara di seluruh dunia mempercepat pengembangan ekonomi digital dan aktif memanfaatkan peluang pembangunan bidang teknologi dan industri digital, digitalisasi industri dan elemen data.
Rekod 2022 menunjukkan pendapatan pasar kecerdasan buatan global naik 17.3 peratus kepada AS$450 bilion (RM2.04 trilion).
Data 2022 juga menyaksikan pendapatan industri pembuatan informasi elektronik China mencapai 15.4 trilion yuan (RM9.8 trilion).
Pada Mac 2023, sebanyak 256 operator jaringan di 95 negara mengkomersialkan teknologi 5G.
Manakala, pengguna 5G dunia mencapai 1.15 bilion pengguna dengan tingkat cakupan populasi terhadap jaringan 5G mencapai 30.6 peratus, meningkat 5.5 peratus secara tahunan.
Untuk langkah berterusan, Sarawak perlu memberi perhatian kepada perkembangan ekonomi digital Asean dan peringkat global ini.
SWASTA
Di Sarawak, pembangunan ekonomi digital merupakan usaha kolaborasi antara kerajaan dengan sektor perniagaan swasta dan rakyat.
Melihat perkembangan ekonomi digital Sarawak, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri memuji langkah depan yang diambil Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menjadikan ekonomi digital Sarawak sebagai yang berperancangan tersusun.
Sarawak mula merancakkan ekonomi digital cetusan Persidangan Antarabangsa ICT, Infrastruktur dan Ekonomi Digital Sarawak (IDECS) 2017.
Antara kejayaan Sarawak yang jelas sepanjang lima tahun lepas ialah menubuhan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS), Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Kampung Digital, selain menambah baik prasarana ICT, mempromosi e-Pembelajaran, mempromosi pengehosan data dan data raya serta menganjurkan makmal ekonomi digital.
Menjadi cabaran kepada kerajaan sendiri termasuk penggerak ekonomi digital membina infrastruktur digital khususnya di kawasan luar bandar dan terpencil di Sarawak.
Cabaran ini perlu digalas untuk membawa kawasan terpencil ini berhubung dengan wilayah dan seluruh negara dan dunia, seterusnya mewujudkan peluang ekonomi dan perniagaan yang lebih luas.
Bermula 2024, melihat enam tahun ke depan, dengan kecekapan menyediakan kemudahan dan asas penting ekonomi digital, Sarawak meneruskan Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak menuju 2030.
Ketika itu, 2030, ekonomi digital Asean diunjurkan menggelembung sehingga RM4.64 trilion.
Ini memberi petunjuk bahawa dalam nilai kewangan sebesar itu, maka di situ turut tersedia juga pendapatan besar buat Sarawak.
POSITIF
Ini memberi petanda positif bagi pelaksanaan dasar ekonomi digital memasuki fasa baharu, menuju negeri maju berpendapatan tinggi 2030.
Pelan tindakan ini menjadi garis dan hala tuju mentransformasi ekonomi daripada yang berasaskan sumber konvensional kepada ekonomi dipacu teknologi mampan.
Perkara paling penting pada 2030 kelak, tiada lagi perbezaan antara ekonomi digital dengan ekonomi lain.
Ketika itu semua sektor ekonomi; perlombongan, pertanian, perhutanan, pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan telah terserap dengan era baharu digital yang dipacu secara digitalisasi.
Menurut Premier Sarawak, kesemua inisiatif ini menyumbang sekitar 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak berjumlah RM56.4 bilion menjelang 2030.
Ini sekali gus mewujudkan lebih 45,000 pekerjaan baharu bergaji tinggi dengan 80 peratus Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana terlibat dengan pendigitalan.
Pada 2030 Sarawak mencapai negeri digital dengan kemudahan menjalankan perniagaan dan kerajaan mewujudkan persekitaran perniagaan kondusif serta peluang sama rata untuk rakyat meningkatkan status ekonomi sosial