KUCHING: Ahli komiti Persatuan Pemilik Kedai Kopi dan Restoran Kuching, Tan Yit Sheng gusar bahawa lanjutan operasi kedai makan dari jam 6 pagi hingga 10 malam hanya akan membantu meningkatkan kes jangkitan harian Covid-19.
Katanya, dengan lanjutan waktu operasi selepas 8 malam seperti sebelum ini hanya akan menggalakkan lebih ramai orang keluar membawa pulang makanan.
“Apabila waktu operasi untuk kedai makan sehingga jam 8 malam, orang ramai boleh mengurus waktu mereka untuk memesan makanan sebelum 8 malam dan terus pulang ke rumah selepas tapau (bawa pulang).
“Namun untuk melanjutkan sehingga 10 malam ketika ini, akan ada kes seperti menziarahi rumah rakan atau berlegar-legar kerana mereka berasa mempunyai masa cukup untuk memesan makanan.
“Saya tidak tahu mengapa pembuat keputusan membuat keputusan sedemikian untuk membenarkan kedai makan di buka sehingga 10 malam. Ini satu tindakan yang salah,” katanya kepada New Sarawak Tribune.
Yit Sheng berkata, waktu operasi 6 pagi sehingga 8 malam waktu ideal untuk kedai makan beroperasi dan berharap pihak berkuasa menilai semula akan perkara ini.
“Sementara, saya berharap Kerajaan Sarawak seharusnya beransur-ansur membenarkan makan di dalam seperti apa yang dilakukan oleh Kerajaan Sabah dan Singapura,” katanya.
Yit Sheng berkata, dengan membenarkan makan di dalam dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat akan membendung mana-mana kluster tempat kerja dari berlaku.
“Apabila makan di dalam dibenarkan, ia akan meringankan bebanan kilang dan pejabat kerana ini adalah tempat yang kita dapat lihat pelbagai kluster dikesan.
“Ini kerana pekerja akan makan bersama dalam ruang pejabat yang kecil dan mungkin duduk rapat antara satu sama lain ketika makan,” katanya.
Yit Sheng berkata, oleh sebab itu dia berulang kali memohon kerajaan membenarkan makan di dalam premis tetapi dengan SOP ketat seperti hanya membenarkan dua orang satu meja.
“Apabila makan di dalam dibenarkan, kami membantu kerajaan mematuhi SOP dan pada masa yang sama memastikan pengunjung mematuhi SOP, justeru menghindari kluster di tempat kerja,” katanya.
Beliau menambah, melanjutkan waktu operasi tidak akan memberi banyak keuntungan kepada kedai makan, tetapi mereka harus menghabiskan waktu lebih lama untuk menunggu pelanggan memesan makanan untuk bawa pulang.
“Daripada menunggu pelanggan sekitar jam 7.30 malam, mereka akan menunggu sehingga 9.30 malam. Ini pasti tidak akan membantu kedai makan.
“Pihak berkuasa perlu turun padang melihat keadaan dan mendapatkan maklum balas sebelum membuat keputusan seperti itu,” kata Yit Sheng.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) pada Isnin mengumumkan bahawa mulai hari semalam, kedai makan di negeri ini dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 10 malam dengan syarat bawa pulang sahaja.
Memandangkan kes Covid-19 masih tinggi, maka Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan dengan penambahbaikan SOP berikut, berkuat kuasa pada 29 Jun, iaitu waktu operasi premis menjual makanan bermula jam 6 pagi hingga 10 malam.