Lantik jurulatih Lesen A untuk pembangunan

PERSATUAN Bola Sepak Sarawak (FAS) perlu mempunyai struktur organisasi yang mantap dan konsisten untuk menggerakkan program pembangunan akar umbi yang terancang dan sistematik.

Ia bagi memastikan Sarawak sentiasa mempunyai sekumpulan pemain tempatan berkaliber untuk membentuk kekuatan pasukan utama, skuad Piala Presiden dan pasukan Piala Belia.

Jurulatih Pembangunan Perbadanan Sukan Sarawak, Ahmad Fairuz Yunus menjelaskan, FAS mesti mempunyai hala tuju, program pembangunan jangka pendek dan jangka panjang.

“Kita perlu mempunyai jurulatih bertauliah dan berkelayakan untuk membimbing pemain di semua peringkat.

“Di Jepun misalnya, mereka meletakkan jurulatih yang mempunyai Lesen A untuk program pembangunan. Ia telah pun dilakukan sejak 20 tahun yang lalu,” kata Fairuz kepada Suara Sarawak.

“Ia berbeza dengan kita di Malaysia… biasanya kita meletakkan jurulatih yang hanya mempunyai Lesen C untuk tujuan ini.

Menurut Fairuz yang mempunyai Lesen A, Jepun merupakan contoh terbaik bagi negara Asia untuk program pembangunan.

“Sejak puluhan tahun yang lalu sekumpulan jurulatih berkelayakan di Jepun membuat satu kertas kerja untuk Persatuan Bola Sepak Jepun yang dibentangkan oleh Kementerian Sukan dan ia diluluskan oleh kabinet.

“Kertas kerja tersebut adalah mengenai hala tuju bola sepak Jepun, daripada akademi, skuad muda hinggalah pasukan senior. Antaranya ialah memastikan pasukan utama sentiasa layak ke Piala Dunia.

“Ia menjadi agenda negara Jepun. Oleh itu kebanyakan pihak terlibat sama untuk menjayakan program tersebut,” ujarnya.

Oleh itu, menurut Fairuz, dalam konteks Sarawak, semua jurulatih yang mempunyai Lesen A, B dan C perlu bergabung, merangka pelan pembangunan secara drastik.

“Kita perlu ubah budaya kerja dan mentaliti… tidak ada lagi hanya bercakap untuk suka-suka, kita mesti serius,” jelasnya.

“Oleh itu, kita perlu mempunyai struktur organisasi yang mantap bagi menggerakkan program pembangunan,” ujarnya.

Tambah Fairuz, program pembangunan di Sarawak agak jauh ketinggalan, berbanding di Semenanjung Malaysia.

“Terdapat banyak program di Semenanjung. Misalnya Program Merah Kuning Selangor, program PKNS dan Program WIFI yang melibatkan pertandingan pelbagai peringkat umur… misalnya bawah 12 tahun bawah 14 tahun dan seumpamanya.

“Oleh itu, dari segi keupayaan teknikal dan taktikal pemain di Sarawak jauh berbeza daripada pemain di Semenanjung,” katanya.

“Kita perlu mempunyai pelbagai program dan banyak pertandingan agar pemain muda kita mengharungi banyak perlawanan dan terdedah kepada perlawanan kompetitif,” ujarnya.