Lantik menteri bukan jaminan juara

MELANTIK ketua menteri atau menteri sukan sebagai presiden bukan jaminan sesebuah pasukan bola sepak menjadi bagus dan berjaya. Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, untuk berjaya, sesebuah pasukan perlu mempunyai pentadbiran dan pengurusan yang tersusun.

“Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) atau saya menjadi presiden persatuan bola sepak belum menentukan pasukan menjadi bagus “Apa yang penting ialah pentadbiran dan pengurusan pasukan mesti baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Festival Budayaw BIMP-EAGA Kedua semalam.

Mengenai perlawanan playoff antara Kuching FA dengan Sarawak Sabtu ini, Karim berkata, sebagai menteri yang menjaga sukan, beliau tidak dapat meletak sokongan kepada mana-mana pasukan. “Kedua-dua pasukan berentap mewakili Sarawak.

Saya berharap mereka dapat bermain dengan sepenuh hati,” ujarnya. Beliau berharap pasukan dari Sarawak dapat kembali menjadi kuasa bola sepak dalam Liga Malaysia. “Kita lihat sekarang prestasi pasukan negeri kurang memberangsangkan sehingga terpaksa bermain play-off untuk menentukan nasib dalam Liga Premier 2020,” jelasnya.