LAPAN JENIS bubur jadi tarikan

KOTA SAMARAHAN: Lapan jenis bubur yang dijual di Pusat Penjaja Majlis Perbandaran Kota Samarahan, Jambatan Samarahan menjadi tarikan para pengunjung di petang hari.

Pengusaha Bubur Mohamad Syafiq Iylia Jamadi, 26 tahun berkata, dia mula mengusahakan perniagaan bubur tersebut bersama-sama dengan ibunya pada penghujung 2017 di tapak gerai lama yang terletak di Pangkalan Feri Muara Tuang.

“Perniagaan ini pada mulanya dijalankan oleh ibu saudara saya kemudian bapa saudara tetapi disebabkan komitmen lain mereka tidak dapat meneruskannya.

“Jadi, selepas itu saya dan ibu mengambil keputusan untuk meneruskan perniagaan ini dengan hanya menjual tiga jenis bubur sahaja iaitu bubur kacang hijau, bubur cendol dan bubur lemantak,” katanya kepada Suara Sarawak ketika ditemui di Pusat Penjaja MPKS Jambatan Samarahan.

Tambah Syafiq, perniagaan bubur mula berkembang apabila mereka berpindah ke Pusat Penjaja MPKS tersebut dan kini menjual sebanyak lapan jenis bubur dengan harga serendah RM2 untuk satu cawan bersaiz sederhana.

Mohamad Syafiq Iylia Jamadi

“Lapan jenis bubur yang kami jual adalah bubur kacang hijau, kacang merah, beras hitam, lemantak, bubur ayam, barli, bubur cha cha dan bubur cendol.

“Pada hari biasa (Isnin-Jumaat) kami mampu menjual kira-kira 300 cawan bubur manakala pada hujung minggu lebih 400 cawan berjaya terjual dalam masa beberapa jam,” ujarnya.

Syafiq yang juga berasal dari Kampung Tanjung Bundong di sini memberitahu, kebiasaannya mereka mula membuka gerai sekitar 3 hingga 6 petang.

Tambahnya lagi, bubur ayam yang dijual di gerainya itu mendapat sambutan tinggi dalam kalangan pelanggan dan dijual pada kuantiti yang banyak berbanding bubur yang lain.

“Selain itu, menu bubur yang pada awalnya hanya tiga jenis ini dikembangkan kepada lapan jenis atas permintaan pelanggan.

“Walaupun tidak dapat memenuhi semua kehendak pelanggan, kami berusaha menyediakan yang terbaik mengikut kemampuan,” jelasnya.

Menurut Syafiq, perniagaan bubur tersebut dijalankan secara separuh masa dan diuruskan bersama-sama dengan ahli keluarganya.

“Ibu saya merupakan pengasas kepada peniagaan bubur ini dan juga merupakan ‘master chef’ untuk memasak bubur serta barangan jualan kami ini.

“Adik-beradik yang lain turut membantu saya berniaga ketika hujung minggu,” katanya yang mempunyai lima adik-beradik.

Tambah Syafiq, pelanggan mereka bukan sahaja dalam kalangan penduduk di sekitar Kota Samarahan tetapi juga dari luar seperti Kuching.

“Pusat Penjaja MPKS Jambatan Samarahan ini sudah mula dikenali oleh ramai orang dan bukan sahaja penduduk di kawasan ini.

“Selain berniaga di gerai ini, kami juga menyediakan perkhidmatan tempahan bubur untuk majlis seperti doa selamat, dan kenduri,” kata Syafiq.

Syafiq yang juga pelajar jurusan Kejuruteraan Kimia, Unimas menjelaskan, dahulu mereka hanya menjual tiga jenis bubur dengan modal RM50 sebelum mempelbagikannya hingga lapan jenis bubur.

“Saya berharap agar perniagaan kami di sini (Pusat Penjaja MPKS Jambatan Samarahan) mampu berjalan seperti biasa terutamanya ketika musim pandemik Covid-19 ini.

“Ini adalah satu-satunya sumber pendapatan utama bagi kebanyakan peniaga di sini,” katanya.

Suara Sarawak