KUCHING: Lapan kawasan penempatan di Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), hari ini.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, PKPD di Rumah Belong Entalang, Nanga Serenggas, Ulu Anap, Tatau dikenakan bermula 31 Julai hingga 12 Ogos ini.
“Tiga penempatan di Bintulu iaitu Shoplot 21, 22 & 23, Kemena Industrial Estate, Jalan Bintulu Tatau, Rumah Sewa Leader Garage dan Bilik Sewa atas Kedai Kosong Sebelah Velton Inn dikenakan PKPD bermula 1 hingga 14 Ogos ini.
“Selain itu, tiga kawasan kampung di Kuching iaitu Kampung Punau, Kampung Git dan Kampung Bunuk dikenakan PKPD bermula 3 hingga 16 Ogos ini, manakala Kuarters Pekerja Ladang Palmlyn Sdn. Bhd di Mukah dikenakan PKPD bermula 4 hingga 17 Ogos ini,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
JPBN menambah, PKPD di Rumah Keroh, Sungai Sebatu, Ulu Mador, Bintangor di daerah Meradong ditamatkan hari ini.
Sementara itu, JPBN memberitahu daerah Tebedu bertukar status daripada kuning ke status jingga hari ini setelah merekodkan 25 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas.
Ia menjadikan jumlah daerah berstatus jingga meningkat kepada tujuh daerah, 17 daerah berstatus merah, 10 daerah berstatus kuning dan enam daerah kekal berstatus hijau.