Lapan kes positif Covid-19 di Sarawak hari ini

KUCHING: Terdapat lapan kes positif Covid-19 dilaporkan di Daerah Kuching, Meradong, Bintulu dan Miri hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Amar Douglas Uggaj berkata, daripada jumlah itu masing-masing tiga dikesan di Kuching dan Meradong serta masing-masing satu di Bintulu dan Miri.
“Tiga kes di Kuching adalah jangkitan tempatan yang merupakan saringan individu bergejala.
“Tiga kes di Meradong juga merupakan kes jangkitan tempatan daripada saringan individu yang mempunyai kontak kepada kes positif Covid-19,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri menambah, kes di Bintulu turut menyaksikan jangkitan tempatan apabila merupakan saringan Covid-19 sebelum balik ke negara asal.
“Kes merupakan kes ke-1,124 merupakan seorang lelaki warganegara China yang telah menjalani saringan Covid-19 di sebuah hospital swasta di Bintulu pada 30 Disember 2020. Kes merupakan seorang pekerja di sebuah kilang besi di Samalaju, Bintulu sejak tahun 2017 dan pernah balik ke China pada bulan Mac 2019.
“Kes telah menjalani saringan Covid-19 sebagai keperluan sebelum masuk balik ke negara China. Kes telah bersama 14 rakan yang lain telah menjalani saringan pada 31 Disember 2020 dan kes didapati positif pada hari yang sama.
“Kes ini telah mengadu mula mengalami hidung berair pada 22 Disember 2020 tetapi tidak menjalani pemeriksaan lanjut,” jelasnya.
Tambahnya, kes di Miri pula adalah kes import iaitu individu balik dari Semenanjung Malaysia.
“Kes 1,125 merupakan seorang lelaki warga tempatan (Selangor) yang telah masuk ke Sarawak melalui Lapangan Terbang Miri dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 27 Disember 2020.
“Kes berasal dari Banting, Selangor adalah seorang penjawat awam yang bertugas di Miri yang telah balik bercuti ke negeri asal sejak 13 Disember 2020 yang lalu.Kes telah masuk semula ke Sarawak dan tiba di Lapangan Terbang Miri pada 27 Disember 2020 dan telah dibenarkan menjalani arahan kuarantin di rumah memandangkan kes tinggal seorang di rumah,” ujarnya.
Katanya lagi kes ini dikategorikan sebagai kes Import B iaitu telah mendapat jangkitan Covid-19 semasa berada di kawasan berisiko tinggi jangkitan di Selangor.
Menurutnya, siasatan lanjut dan pengesanan kontak-kontak kepada kes ini sedang giat dijalankan.

Suara Sarawak