
KUCHING: Lapan pasukan bakal berentap memburu kejuaraan pada Liga Bola Sepak Veteran 2022 anjuran MJSB Stakan dan V-Foss FC.
Pengerusi Kejohanan Abdul Muhtalip Tegak menegaskan, pasukan terbabit ialah Hooligan Spirit FC, Sambir Bistari FC, V-Foss FC, BNG FC (Kumpulan A).
Di samping empat lagi pasukan yang berada dalam Kumpulan B terdiri daripada Armada SV FC, MA FC, Vettam FC dan MJSB FS.
“Saingan akan bermula pada 26 Februari ini dan dijangka berakhir pada 12 Mac depan.
“Semua perlawanan akan berlangsung di padang bola sepak Kampung Sambir, Asajaya,” tegas Abdul Muhtalip kepada Arena Suara Sarawak.
Menurut beliau, pihaknya menjangkakan pertembungan sengit dijangka berlaku kerana difahamkan semua pasukan terlibat turut menyenaraikan pemain handalan.
“Difahamkan ada pasukan turut diperkuatkan beberapa bekas pemain yang pernah menyarung jersi pasukan Sarawak serta kelab handalan sekitar Kuching mahupun Samarahan,” tambah beliau lagi.
Hadiah berupa wang tunai, piala dan pingat menanti pasukan yang berjaya muncul juara, naib juara dan tempat ketiga untuk saingan kali ini.