KUCHING: Lapan premis di sini, dipotong bekalan elektrik hari ini kerana didapati menjalankan kegiatan perjudian secara haram.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata pemotongan dilakukan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan bersama-sama dengan kakitangan Syarikat Sesco Bhd.
“Pemotongan bekalan elektrik ke atas kesemua premis ini dilakukan di bawah Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Penugasan berjalan lancar dan tiada perkara tidak diingini berlaku,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menjelas lanjut, Aidil berkata lima daripada premis terbabit terletak di kawasan Kota Sentosa, dengan empat daripadanya merupakan pusat panggilan perjudian dalam talian.
Katanya dua daripada premis itu adalah di The Cube Condominium Jalan Burung Lilin dan sebuah masing-masing di Mckenzie Avenue Jalan Stapok, Square Apartment Jalan Stapok Utama dan Taman Flora Indah Jalan Arang.
Beliau menambah tiga lagi premis masing-masing terletak di kawasan Batu Kawa iaitu dua di Taman Malihah, Matang dan sebuah di Pusat Komersial Moyan Square.