
BALAI RINGIN: Seramai 16 penghuni dari lapan buah keluarga terselamat setelah rumah pekerja didiami mereka di sebuah ladang Jalan Melikin, di sini musnah dalam kebakaran.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, kejadian yang dilaporkan kira-kira jam 9.42 pagi itu membabitkan lapan pintu rumah pekerja ladang.
Katanya, sejurus menerima panggilan kecemasan, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian dikerahkan ke lokasi.
“Kebakaran melibatkan kemusnahan 100 peratus pada keseluruhan rumah pekerja tersebut yang berkeluasan 10 kali 24 kaki setiap satu.

“Kebakaran telah dikawal dan dipadamkan sendiri oleh pekerja ladang menggunakan peralatan pemadaman pihak ladang sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kejadian tidak melibatkan kecederaan dan semua penghuni dalam keadaan selamat.
Katanya, setelah memastikan keadaan di lokasi selamat dan tiada lagi punca kemerebakkan, jentera dan anggota bertolak balik ke balai.