Lapan tahun lawan sakit misteri

KUCHING: “Saya lawan rasa sakit ini sudah lapan tahun,” luah seorang mulaf berusia 57 tahun, Nur Maleaki Ting Abdullah.

Dia mengalami penyakit misteri sejak lapan tahun dan sudah menjalani perubatan di hospital termasuk perubatan tradisional.

Menurutnya, dia banyak kali ke hospital untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan tetapi semuanya dalam keadaan baik dan normal.

“Doktor tidak mengesahkan saya menghidap apa-apa penyakit. Tekanan darah dan tahap gula dalam darah semuanya dalam keadaan baik.

“Saya ada mendapatkan rawatan tradisional seperti berurut dan sebagainya hingga saya boleh berjalan menggunakan tongkat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini di tempat kediamannya, di Lorong Greenwood di sini.

Kata Maleaki, dia memeluk agama Islam kerana tertarik dengan rancangan Cina Muslim yang disiarkan di televisyen setiap Jumaat.

“Saya suka satu ayat al-Quran yang selalu dibacakan dalam rancangan tersebut.

“Tiada paksaan untuk saya memeluk agama Islam, dengan bantuan Cikgu Pian (rakan karib) saya melafaz dua kalimah syahadah di Kota Samarahan,” jelasnya.

Dia menyatakan Cikgu Pian merupakan salah seorang rakan yang banyak membantunya sejak sakit.

Menurut Maleaki, dia sudah menganggap Cikgu Pian seperti adik-beradik dan dia yang banyak membantunya dalam berubat dan sebagainya.

“Dahulu saya dapat berjalan menggunakan tongkat selepas jatuh saya tidak dapat bergerak dan terlantar seperti ini.

“Saya jatuh pada hari terakhir Ramadan tahun ini, pada hari raya pertama hingga kini beginilah keadaan diri saya,” katanya.

Maleaki menyatakan, selepas terjatuh dia juga membuat pemeriksaan di hospital tetapi doktor tidak melihat apa-apa yang berlaku pada tulang dan sebagainya.

“Saya diberikan krim sapu dan ubat tahan sakit sahaja.

“Tidak dinafikan saya memang rasa takut apabila terlantar seperti ini, tetapi saya akan terus lawan rasa sakit ini,” jelasnya.

Dia memberitahu, tiada perubahan dalam selera makan ketika sakit cuma terpaksa berpantang.

“Saya tidak boleh makan cili dan kangkung kerana ia merupakan pantang untuk perubatan tradisional yang saya jalankan.

“Saya mula sakit teruk ketika berada di Sri Aman dan mengambil keputusan untuk berhijrah ke Kuching,” katanya.

Lelaki berbangsa Cina dari Miri ini hidup sebatang kara di Kuching dan mengalami masalah kesihatan hingga terlantar.

Dia hanya mengharapkan bantuan daripada rakan-rakan dan Cikgu Pian dalam meneruskan kehidupan.

Ketika ditanya tentang bantuan yang diberikan oleh pihak berwajib, dia menyatakan ada menerima bantuan tersebut.

“Pada peringkat awal sakit, saya mendapat bantuan sebanyak RM60, sekarang naik RM200,” jelasnya.

Bantuan untuk Maleaki berada dibawah Skim Bantuan Penjagaan OKU Terlantar atau Pesakit Kronik Terlantar Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan diberikan RM350 sebulan bermula Ogos ini.

Menurutnya, dia memerlukan bantuan untuk menampung kos perubatan.

“Jika saya diberikan kesembuhan, saya akan membantu orang yang sakit sama seperti diri saya.

“Kerana saya faham rasa sakit ini, saya sudah mengalaminya bertahun-tahun dan kini saya tidak dapat melihat orang yang terlantar sama seperti saya,” ujarnya.

Kini dia hanya tinggal di sebuah bilik sewa dengan kos yang agak tinggi sebulan dan dijaga oleh seorang pembantu yang juga diupah untuk menguruskan segala keperluannya.

Orang ramai yang sudi menghulurkan bantuan kepadanya boleh menyalurkan di akaun miliknya CIMB: 7033733367 Nur Maleaki Ting Abdullah.

Suara Sarawak