Lapangan terbang Mukah siap 2021

MUKAH: Lapangan terbang Mukah yang baharu bernilai RM360 juta bakal siap pada Januari 2021, kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing.

Jelasnya, kerja-kerja pembinaan sudah dilaksanakan, namun tergendala ketika PKP lalu.

“Sekarang ia disambung semula. Difahamkan, lapangan terbang ini akan siap tahun depan,” katanya pada sidang media di tapak projek di sini, semalam.

Menurutnya, lapangan terbang baharu itu akan menjadi pengangkutan udara yang sangat penting yang menyumbang kepada pembangunan Mukah.

“Ia bakal menjadi akses penting kepada pelbagai industri yang sedang rancak berkembang di Mukah dan di sekitarnya,” katanya.

Turut hadir di tapak projek ialah Adun Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya. Lapangan terbang berkenaan akan dapat mendaratkan pesawat jenis ATR berbanding Twin Otter ketika ini.

Sebelum ini untuk sampai ke Mukah, penduduk juga menggunakan jalan darat dari Sibu, Oya dan Igan termasuk Matu dan Daro.

Mukah diisytiharkan sebagai bahagian ke-10 pada 1 Mac 2002 dan bancian pada 2000 mencatatkan jumlah penduduknya sekitar 47,900 orang dan meningkat kepada 110,024 pada 2010.

Pengiktirafan Mukah sebagai bahagian membuka lembaran baharu dari segi peningkatan jumlah penduduk yang majoritinya Melanau.

Di Mukah, terdapat pelbagai produk pelancongan menarik perhatian seperti kemeriahan pasar basahnya yang menjual umai segar serta keunikan Pesta Kaul yang diadakan setiap tahun.

Suara Sarawak