Lapangan Terbang Mukah siap 94 peratus

MUKAH: Pembinaan Lapangan Terbang Mukah baharu berjalan lancar (kini siap 94 peratus) dan dijangka dapat digunakan sepenuhnya pada pertengahan suku kedua tahun depan.

Adun Tellian Yusibnosh Balo berkata, serah akhir projek akan diadakan pada 11 April 2021 yang bermakna lapangan terbang itu dapat beroperasi sepenuhnya.

“Berdasarkan tinjauan dengan pihak kontraktor hari ini (semalam), kita puas hati dengan per-kembangan projek serta kerja-kerja pembinaan.

“Kita berharap penduduk Mukah sentiasa bersabar sebelum dapat menggunakan lapangan terbang baharu yang akan beroperasi pada tahun depan,” katanya selepas melawat tapak projek Lepangan Terbang Mukah baharu semalam.

Menurutnya, penduduk Mukah harus bangga kerana lapangan terbang itu dibina mengikut standard antarabangsa yang dilengkapi dengan unit kastam, imigresen serta bilik kuarantin.

Sementara itu, menurut Pengurus Pembinaan Ibraco Construction Them Ngee Sin, lebih 100 tempat letak kereta sedang dibina untuk keselesaan orang awam.

“Lapangan terbang ini kelak dapat beroperasi pada waktu siang dan malam. Waktu operasi lapangan terbang lama sebelum ini hanya pada waktu siang,” ujarnya.

Manakala Jurutera JKR Pejabat Wilayah Tengah Nurjannah Mohd Safiee memberitahu, lapangan itu akan siap pada Januari 2021 tetapi masih memerlukan kerja-keja dalaman.

“Untuk itu kita memerlukan sepenuhnya penglibatan pelbagai pihak seperti syarikat penerbangan, imigresen, kastam, unit keselamatan yang perlu melatih kakitangan mereka di lapangan terbang ini terlebih dahulu.

“Selain itu, ia bergantung kepada syarikat penerbangan yang ingin menjalankan operasi mereka di lapangan terbang ini kelak,” katanya lagi.

Dalam lawatan tersebut Yusibnosh meninjau sekitar bangunan lapangan terbang dan berpeluang melihat sendiri landasan lapangan terbang yang dibina dengan jarak 1,500 meter dengan keluasan 30 meter.

Lapangan terbang bernilai RM360 juta itu dapat menerima tiga pesawat jenis ATR 72 dalam satu masa.

Terminal akan dapat memenuhi kapasiti lebih 204 pengguna pada waktu puncak (PPH) berbanding 40 pengguna sebelum ini.