Lapangan terbang Tanjung Manis dinaiktaraf

TANJUNG MANIS: Kerajaan Sarawak akan menaiktarafkan Lapangan Terbang Tanjung Manis sebagai usaha memperkasakan potensi Delta Rajang dalam pelbagai sektor termasuk pertanian dan pelancongan.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, satu kajian akan dilakukan bagi mengenalpasti langkah untuk memanjangkan Lapangan Terbang Tanjung Manis selain menaiktaraf kemudahan sedia ada.

Melalui inisiatif terbaharu itu katanya, kemudahan berkenaan bukan sahaja boleh dimanfaatkan penduduk Tanjung Manis tetapi juga mereka di kawasan berhampiran termasuk di Pulau Bruit, Matu Daro, Pakan, Julau dan Sarikei.

“Kita panjangkan lapangan terbang ini supaya dapat digunakan oleh kapal terbang lebih besar seperti ATR yang mampu membawa kira-kira 90 orang penumpang.

“Kajian terperinci akan dilakukan dan tahun depan, kita akan umumkan kosnya. Lapangan terbang ini akan menjadi pintu masuk ke kawasan Delta Rajang.

“ Ia bukan hanya untuk membangunkan sektor pelancongan tetapi juga bakal melonjakkan pelbagai sektor sampingan termasuk pertanian dan industri kampung,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival Pantai Belawai di sini, hari ini.

Len Talif melemparkan buah kelapa dalam acara sukan rakyat sambil diperhatikan Abang Johari dan tetamu kenamaan yang lain.

Beliau berkata, usaha tersebut juga sebahagian perancangan masa depan untuk mencapai status Sarawak sebagai sebuah negeri maju pada masa depan.

Tambahan pula katanya, Tanjung Manis dan kawasan sekitarnya berpotensi dibangunkan sebagai salah satu lagi hab pelancongan yang mampu menarik kehadiran pengunjung khususnya di kawasan tengah Sarawak.

Menurutnya, peruntukan sebanyak RM3juta yang disalurkan oleh Kerajaan Sarawak untuk menariktarafkan pantai Belawai berjaya mengubah wajah kawasan itu sehingga menjadi salah satu daripada kawasan tarikan pengunjung.

“Selain pelancongan, pelbagai lagi bidang lain boleh dibangunkan termasuklah tenunan songket Rajang yang semakin mendapat tempat di hati peminatnya di seluruh Malaysia. Kita yakin industri ini mempunyai masa depan yang cukup cerah,” ujarnya.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari menyampaikan hadiah kepada wakil JKKK Kampung Hilir Jerijeh yang menyandang johan pertandingan kebersihan dan keceriaan.

Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak tetap komited untuk meneruskan projek-projek yang mampu memberi impak besar kepada rakyat khususnya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Katanya, antara usaha yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak ialah menyediakan kemudahan elektrik ke luar bandar termasuk rumah panjang selain meneruskan projek pembinaan prasarana penting seperti jalan dan beberapa buah jambatan.

“Inilah yang kita dapat daripada cukai jualan minyak dan gas, hasilnya kita manfaatkan untuk membina kemudahan untuk rakyat termasuk mereka di luar bandar.

“Saya tidak bercakap kosong, apa yang saya kata pasti akan dikotakan. Kita bukan datang sekejab-kejab sebaliknya sering turun padang mendampingi rakyat,” ujarnya.

Hadir sama, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh, Menteri Muda Hal Ehwal Korporat, Abdullah Saidol, Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii, ADUN Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom dan ADUN N.44 Jemoreng, Datuk Dr. Juanda Jaya.

Suara Sarawak