Lapor penyelewengan penjawat awam

KUCHING: Unit Intergriti dan Ombudsman Negeri (Union) ditubuhkan untuk merancang dan melaksanakan program membudayakan integriti serta menyiasat sebarang bentuk aduan atau penyelewengan dalam pengurusan pentadbiran.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip menyatakan, ia merupakan satu unit di bawah Jabatan Ketua Menteri yang ditubuhkan pada 1 Februari 2018.

“Sebelum ini Kementerian Integriti dan Ombudsman menggunakan tenaga pasukan integriti di Unit Sumber Manusia Negeri.

“Namun pada 11 Februari 2019, dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan, unit SPRM ditempatkan di Union sebagai usaha pencegahan aktiviti rasuah dan menjaga integriti penjawat awam negeri ini,” jelasnya semalam.

Talib menambah, Union mengambil langkah pertama berkerjasama dengan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (Maca) dalam memperkenalkan program Pegawai Integriti Bertauliah di Sarawak.

“Setakat ini, seramai 94 pegawai perkhidmatan awam negeri tamat menjalani program tersebut.

“Pegawai ini akan memainkan peranan sebagai mata dan telinga Kerajaan Sarawak sekali gus meningkatkan ketelusan dalam sistem perkhidmatan pentadbiran negeri ini,” jelasnya.