Lapor salah laku peguam

KUCHING: Orang awam bebas membuat aduan jika berlaku kejadian salah laku atau amalan tidak beretika peguam bela di Sarawak kepada Lembaga Tatatertib Peguam Bela.

Presiden Persatuan Peguam Bela Sarawak (AAS) Ranbir Singh Sangha berkata, lembaga berkenaan akan menjalankan siasatan untuk pendengaran yang adil sekiranya terdapat aduan daripada orang awam.

“Terdapat lebih 900 peguam bela yang mengamalkan undang-undang di Sarawak dan semuanya tertakluk kepada
tindakan tatatertib jika aduan atau salah laku dibuat terhadap mereka.

“Orang ramai perlu tahu bahawa kami tidak melayan aduan lisan, hanya menerima pakai aduan secara bertulis melalui borang aduan boleh didapati di setiap mahkamah di Sarawak,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan semasa Majlis Pembukaan Tahun Perundangan Sabah dan Sarawak 2020 di Kompleks Mahkamah Kuching di sini, semalam.

Tambah Ranbir, pihaknya ada menerima beberapa aduan lisan mengenai salah laku peguam bela berkenaan kes kemalangan jalan raya.

“Tetapi lembaga tatatertib tidak boleh melakukan apa-apa sehingga aduan rasmi difailkan berhubung amalan tidak beretika peguam bela tersebut,” jelasnya.

Kini, Sarawak mempunyai bilangan peguam bela yang ramai dengan 500 orang berada di Kuching manakala bakinya berada di sekitar Sibu, Bintulu dan Miri.

Mengulas perpindahan Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak dari Kuching ke Kota Kinabalu beli-
au berkata, institusi berkenaan tetap berprestij tidak kira di mana pejabat berkenaan ditempatkan.

“Saya mengucapkan tahniah kepada peguam bela di Sabah kerana mempunyai pejabat pendaftaran tersebut di sana.

“Saya faham bahawa semua prosedur yang diperlukan telah dipatuhi dan kami yakin bahawa suatu hari nanti pejabat pendaftaran tersebut akan ditempatkan kembali di Sarawak secara bergilir-gilir,” terangnya.

Suara Sarawak