JAKARTA: Awal minggu ini Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi melarang pegawai kanan kerajaan dan menteri daripada menghadiri majlis berbuka puasa sepanjang Ramadan.
Ia adalah susulan kehidupan mewah segelintir daripada mereka menjadi kontroversi selepas didedahkan kepada umum. Namun begitu, pelbagai pertubuhan Islam di Indonesia kurang senang dengan larangan tersebut.
Mereka berpendapat amalan itu harus dibenarkan, asalkan tidak menggunakan wang kerajaan dan tidak diadakan secara terlalu mewah.
Beberapa kumpulan Islam turut berpendapat larangan itu menjejaskan hubungan silaturahim dan tidak wajar dilaksanakan.
Setiausaha Umum Muhammadiyah Abdul Mu’ti, di laman Instagram berkata larangan itu memberi kesan kepada perpaduan sesama Islam, terutama ketika Ramadan, ketika orang ramai berkesempatan memperkukuhkan atau memperbaharui hubungan sesama mereka.
“Jika tidak difahami dengan baik, larangan seperti ini mampu memudaratkan ukhwah dan persaudaraan sesama Islam ketika Ramadan,” katanya mewakili pertubuhan Islam kedua terbesar di Indonesia itu.
Pengerusi Majlis Ulama Indonesia, Cholil Nafis turut menegur larangan itu, yang disifatkannya sebagai tidak selari dengan tradisi keagamaan di Indonesia.
“Berbuka puasa bersama-sama adalah baik, sama seperti menghadiri mana-mana majlis lain, tempat kita bertemu penyokong dan merapatkan hubungan,” katanya mewakili badan ulama utama Indonesia.
Pekeliling kerajaan yang dikeluarkan pada 21 Mac lalu itu memberi alasan larangan itu dibuat bagi mengekang penularan Covid-19.
Bagaimanapun, Setiausaha Kabinet, Pramono Anung berkata ada sebab lain presiden tidak mahu pegawai kanan kerajaan dan menteri menyertai majlis berbuka puasa.
“Kini, semakin ramai pegawai kanan kerajaan menjadi tumpuan umum kerana memiliki kemewahan melampau.
Justeru, presiden meminta mereka berbuka puasa secara sederhana.
“Bagaimanapun, larangan ini tidak membabitkan masyarakat umum dan mereka bebas menganjurkan majlis berbuka puasa,” katanya pada sidang media baru-baru ini.
Ahli Parlimen Parti Kebangkitan Kebangsaan, Lukman Hakim, yang mewakili parti majoriti Islam, berkata majlis perkahwinan anak bongsu Jokowi sendiri baru-baru ini amat mewah dengan dihadiri ribuan orang di Solo, Jawa tengah.
“Jokowi larang majlis buka puasa kerana Covid-19 tetapi majlis kahwin anaknya dihadiri ribuan jemputan, konsert juga diadakan,” katanya menerusi ciapan Twitter.
Walaupun tindakan Jokowi itu menerima kecaman, ia disokong oleh Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo, yang dikatakan pendahulu calon Presiden Indonesia pada pemilihan 2024.
Beliau turut mengeluarkan larangan sama kepada semua pegawai di wilayahnya, menyatakan majlis berbuka puasa bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk.