Lari keliling rumah kekalkan stamina

WALAUPUN belum ada keputusan muktamad, sama ada saingan Liga Malaysia 2020 disambung semula atau dibatalkan terus, ia tidak menghalang pemain profesional Liga Malaysia untuk meneruskan latihan bagi mengekalkan tahap kecergasan masing-masing.

Ketua pasukan Kuching FA, Rafiezan Razali turut tidak ketinggalan melaksanakan tanggungjawab sebagai atlet sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa pada 18 Mac lalu.

“Saya berlari keliling rumah. Walaupun kawasannya agak kecil, tetapi sekurang-kurangnya ia mampu membantu mengekalkan tahap kecergasan.

“Di samping itu, saya juga menggunakan peralatan gimnasium di rumah untuk latihan kekuatan kaki,” ujar Rafiezan.

“Sepanjang bulan Ramadan ini saya lebih banyak menghabiskan masa latihan pada sebelah malam.

“Pada sebelah siang saya menghabiskan masa bersama-sama keluarga di dalam rumah sepanjang PKP ini,” kata pemain pertahanan itu.

Rafiezan merupakan antara tonggak utama Kuching FA musim ini, selain Joseph Kallang Tie, Tommy Mawat, Dzulazlan Ibrahim, Mazwandi Zekeria dan Sufizal Ismail.

Beliau memainkan peranan penting untuk membantu skuad Kuching FA naik ke Liga Premier 2020, setelah mengalahkan pasukan Sarawak dalam aksi play-off.

Selain posisi pertahanan, Rafiezan juga mampu beraksi baik di bahagian tengah.