KUCHING: Pembabitan peserta larian komuniti Hari Malaysia 2023 bukan sahaja memberi kesedaran aspek kesihatan malah meningkatkan interaksi sosial dalam kalangan warga Kuching.
Datuk Bandar Kuching Selatan (MBKS), Datuk Wee Hong Seng berkata, MBKS sentiasa mengalu-alukan dan terbuka terhadap penglibatan komuniti dalam setiap acara yang dianjurkan.
Menurutnya, larian kali ini tampil dengan lebih meriah dengan penyertaan bomba dan pihak pengurusan Farley.
“Ini bukan sekadar larian. Anda sebenarnya dapat melihat bahawa kebanyakan hujung minggu di sini penuh dengan aktiviti berjalan dan larian.
“Semua jenis acara, kita mahu melihat semua datang bersama-sama, berlari bersama, berjalan bersama, dan tentunya bermain bersama.
“Inilah semangat yang kita mahukan dan pastikan kurang berpolitik dan lebihkan tindakan untuk rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pekarangan pusat beli-belah Farley, Kuching sekali gus turut serta dalam Program Larian Komuniti Hari Malaysia 2023 di sini, hari ini.
Tambah Wee, acara komuniti itu berjaya menampilkan masyarakat daripada kategori pelbagai umur dari muda hingga ke tua sanggup hadir ke lokasi seawal jam 5 pagi.
Pada masa sama, beliau menegaskan acara komuniti turut berperanan sebagai kempen kesedaran masyarakat terhadap fungsi kebombaan.
Dalam pada itu, beliau mendedahkan pihak MBKS turut banyak membantu menyalurkan aduan rakyat terhadap isu-isu sosial kepada agensi berkaitan.
“MBKS menjadi salah satu pusat pertama menerima aduan daripada penduduk namun kita tidak mengendahkan sebaliknya menyalurkan isu kepada pihak berkuasa berkaitan.
“Maka sebab itulah kerjasama rapat dengan semua orang sangat penting,” katanya.
