Larry King akan terus dirindui

TINGGINYA sekadar 1.75 meter, manakala pencapaian akademiknya, hanya di peringkat sekolah menengah.
Atau lebih tepat di Sekolah Tinggi Lafayette, Brooklyn. Namun kerana minat dan bakatnya, Lawrence Harvey Zeiger telah bertukar menjadi “legenda media” yang amat dikagumi.
Pengikut dan peminatnya menjangkau puluhan juta, merangkumi pelbagai lapisan umur, bangsa dan jantina.
Siapa Lawrence Harvey? Ia merupakan nama sebenarnya Larry King – hos yang amat dikenali di seluruh dunia, yang tamat usia pada Sabtu lalu. King menghembuskan nafas terakhir pada usia 87 tahun kerana jangkitan Covid-19.
Sebelum itu, beliau dimasukkan ke Pusat Rawatan Cedars-Sinai di Los Angeles sebelum Krismas, setelah dikesan positif jangkitan pandemik global itu.
King diminati kerana sifatnya yang bersahaja, bijak, terbuka dan tidak bias. Juga kerana gelaknya yang tersendiri dan berwatak. Kerana itu, beliau boleh mewawancara sesiapa sahaja, termasuk semua Presiden Amerika Syarikat – daripada Richard Nixon kepada Donald Trump.
Soalan-soalan “nakalnya” turut singgah kepada selebriti-selebriti seperti Marlon Brando, Snoop Dogg, Liza Minnelli, Jerry Seinfeld, Elizabeth Taylor, Frank Sinatra dan Sir Paul McCartney. Menurut pengkaji media, kekuatan King adalah pada ketenangannya dalam melontarkan soalan.
Baik ketika menemu bual Presiden AS, pemimpin luar, selebriti atau individu bersalut skandal, King senang dengan soalan yang ringkas, terus dan tidak berbelit.
Kerana itulah, beliau dapat bertahan selama 25 tahun mengendalikan Larry King Live terbitan CNN selain Larry King Now dan Politicking with Larry King terbitan Ora Media.
Selama 63 tahun sebenarnya, King telah mengendalikan 50,000 wawancara, manakala rancangannya memenangi pelbagai anugerah – yang membuktikan betapa dunia menghargai bakat besarnya.
King memecah tangis di Brooklyn, New York pada 19 November 1933. Beliau merupakan anak kepada seorang pekerja pakaian, Jennie Gitlitz yang berasal dari Lithuania, manakala bapanya Edward Zeiger, yang berketurunan Austria-Hungary menjalankan perniagaan restoran.
Ketika King memasuki usia remaja, bapanya meninggal dunia akibat serangan jantung pada usia 44 tahun.
Ini menyebabkan King, abang dan ibunya terpaksa menagih simpati, hidup atas ihsan kebajikan.
Kehidupan mereka terjejas dan King hilang minat untuk meneruskan persekolahan. Beliau amat meminati radio, dan mahu bekerja di stesen radio.
King kemudian mengambil keputusan nekad. Pada 1957, ketika berusia 24 tahun, beliau berhijrah ke Miami, Florida untuk memulakan kerjayanya di stesen WAHR. Bukan sebagai juruhebah, sebaliknya mengambil upah membersihkan sekitar studio dan melakukan pelbagai kerja am di sekitar pejabat.
Beberapa bulan kemudian, seorang juruhebah di stesen tersebut tiba-tiba berhenti dan King mendapat peluang untuk mencuba bakatnya.
Beliau diberi peluang dan siaran pertamanya adalah pada 1 Mei 1957, dengan menjadi pemutar lagu untuk slot 9 pagi hingga tengah hari.
Beliau kemudian membaca dua berita petang dan berita sukan, dan untuk itu dibayar $50 seminggu.
Pengurus stesen tersebutlah yang mencadangkan King menukar namanya, dan akhirnya beliau menukar namanya kepada Larry King, setelah membaca iklan di Miami Herald yang menyiarkan iklan King’s Wholesale Liquor. King kemudian diberikan kepercayaan untuk menjalankan temu duga untuk siaran lewat pagi untuk WIOD di restoran Pumpernik di Pantai Miami.
Beliau menemu bual sesiapa sahaja termasuk pelayan restoran. Dua hari berselang, penyanyi Bobby Darin yang ditemuinya secara tidak sengaja menjadi selebriti pertama yang ditemu bual oleh King. Tiga tahun kemudian, King diberi peluang untuk menjadi hos rancangan televisyen, Miami Undercover.
Program itulah yang menukar King menjadi selebriti tempatan. Beliau malah diberi peluang mendapatkan pendedahan lanjut apabila menjadi pengulas untuk pasukan bola sepak Miami Dolphins.
King bagaimanapun tidak bertahan lama apabila diberhentikan daripada siaran tv tersebut setelah ditangkap polis, susulan pertelingkahannya dengan rakan perniagaannya. Beliau akhirnya mengambil keputusan untuk bekerja di Mutual Radio Network dan di sinilah beliau memperkenalkan The Larry King Show, yang kemudian mencetuskan fenomena luar biasa.
Pada Jun 1985, King memperkenalkan jenama Larry King Live di CNN, yang kemudian melonjak sebagai program televisyen yang paling pantas ratingnya. Menerusi program ini, King menemu bual pemimpin terkemuka, ahli politik, dan pelbagai tokoh dalam industri hiburan.
Beliau bersiaran di CNN bermula jam 9.00 hingga 10.00 malam sebelum bergegas ke studio Mutual Radio Network untuk mengendalikan rancangan radionya. King telah menjalankan lebih 50,000 wawancara sepanjang kerjayanya.
Ketika mengendalikan Larry King Live beliau juga dikenali sebagai penulis pojok untuk USA Today selama lebih 20 tahun.
Pada kemuncaknya, berjuta-juta orang menonton Larry King Live di CNN secara langsung.
Justeru tidak hairanlah beliau pernah dinobatkan sepuluh Anugerah Cable ACE, dua Anugerah Peabody dan Anugerah Golden Mike. Sepanjang tempoh tersebut, terdapat beberapa individu yang pernah menggantikan beliau semasa ketidakhadirannya dalam program langsung di CNN.
Antaranya pelawak Kathy Griffin, wartawan/anchor Dan Rather dan Kermit the Frog. Pada 29 Jun 2010, King mengumumkan pengundurannya daripada rancangan yang dikendalikannya setiap malam itu selepas 25 tahun. Piers Morgan, personaliti TV British dan wartawan, kemudian dinamakan sebagai pengganti beliau, manakala episod terakhir Larry King Live bersiaran pada 16 Disember 2010.
Pada Mac 2012, beliau secara bersama mengasaskan Ora TV, dan menerbitkan Larry King Now yang turut disiarkan oleh Hulu dan RT America – dua rangkaian OTT.
King turut mengendalikan rancangan bual bicara politik malam Khamis, Politicking with Larry King. Gembira dan teruja, King pada 2017 mengumumkan bahawa beliau tidak akan bersara dan berharap akan terus mengendalikan program bual bicaranya sehingga menghembuskan nafas terakhir.
Meminati kelab besbol Los Angeles Dodgers dan penyanyi Frank Sinatra, King juga berbakat dalam bidang filem.
Beliau sebenarnya telah membuat banyak penampilan dalam filem, termasuk Ghostbusters, Shrek 2 dan 30 Rock. Pada 2016 , beliau membawa watak dirinya dalam filem The People v. O.J. Simpson: American Crime Story. Pada 2012, mengendalikan debat presiden di Ora TV dan pernah muncul sebagai moderator Forum Kazenergy Eurasian keenam di Kazakhstan pada Oktober 2011.
Beliau juga sangat aktif di Twitter dan menyiarkan komen dan pemikiran mengenai pelbagai subjek.
King yang bersuara “lemak dan garau” sebenarnya pemikat banyak wanita. Justeru tidak hairanlah beliau pernah berkahwin sebanyak lapan kali.
Isteri pertamanya Freda Miller, dikahwini pada usia 19 tahun, diikuti dengan bintang Playboy Bunny Alene Akins pada 1962-1963 dan 1969-1972.
Isteri lainnya ialah Julie Alexander, Sharon Lepore dan Mickey Sutphin; manakala isteri terakhir beliau ialah Shawn Southwick, bermula pada 1997 hingga mereka bercerai pada 2019.
Hasil semua perkahwinan ini, King dikurniakan lima anak daripada lapan perkahwinan.
Ironinya, ketika King meninggal dunia kerana Covid-19, beliau sebenarnya menderita banyak penyakit kronik yang lain. Beliau menderita diabetes kronik selain mengalami barah paru-paru, serta pernah mengalami serangan jantung pada 1987.
Selepas pembedahan pintasan jantung, beliau mengasaskan Yayasan Jantung Larry King, yang membayar operasi dan prosedur jantung yang menyelamatkan banyak nyawa mereka yang tidak berkemampuan.
Pada April 2019, beliau sekali lagi mengalami serangan jantung sebelum pada November tahun yang sama, mengalami strok yang menyebabkannya koma selama berminggu-minggu.
Selepas serangan angin ahmar itu, King dikatakan berhadapan dengan kemurungan dan pernah berfikir untuk menamatkan nyawanya sendiri.
Sehingga pojok ini ditulis, masih belum ditentukan bila tarikh sebenar persemadian King, kerana difahamkan, keluarganya mahukan privasi sebelum keputusan itu dapat dilakukan.
Namun pemergian legenda ini terus diratapi. Penyiar Piers Morgan menulis King sebagai hero dan siarawan yang pintar, serta moderator tv yang tiada tandingan.
Anchor CNN Jim Acosta pula menulis beliau sebagai legenda yang akan dirindui di CNN, manakala penyanyi Boy George menyifatkannya sebagai legenda media yang teragung.
Yang pasti, kepintaran, keseriusan, aura dan gelak Larry King pasti dirindui. Kerana beliau merupakan guru kepada banyak moderator tv di dunia.