Latih 3,000 guru mahir BI

KUCHING: Sarawak perlu melatih lebih 3,000 guru menjadi mahir bahasa Inggeris bagi mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, ini memandangkan terdapat 891 daripada 1,265 sekolah rendah di negeri ini memerlukan guru mengajar dua subjek itu dalam bahasa Inggeris.

Menurutnya pada masa ini, terdapat 152 sekolah rendah terlibat dalam Program Dwi-Bahasa yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.

Manakala bagi 222 sekolah Cina, ia mahu terus mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Mandarin.

“Tinggal 891 sekolah rendah memerlukan guru mahir bahasa Inggeris mengajar dua mata pelajaran ini,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucapan penggulungan kementerian dalam persidangan Dun di sini semalam.

Manyin mengakui negeri ini menghadapi tugas mencabar untuk melatih guru terbabit, susulan tawaran Kementerian Pendidikan menjadikan Sarawak negeri pertama melaksanakan sepenuhnya pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Beliau berkata kementeriannya merancang untuk melibatkan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Teknologi Swinburne Sarawak, Universiti Curtin Malaysia, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak dan Institut Latihan Guru (IPG) bagi melaksanakan usaha tersebut.

“Kita perlu terlebih dahulu mereka bentuk modul latihan. Ia tugasan sangat sukar tetapi kami berharap dapat mula melaksanakannya untuk darjah satu pada Januari tahun depan.

“Kami berharap dengan permulaan ini, kemahiran berbahasa Inggeris dalam kalangan murid di Sarawak akan bertambah baik dalam tempoh enam tahun,” katanya.

Pada masa ini, bahasa Inggeris diajar di sekolah rendah untuk enam waktu setiap minggu manakala Matematik dan Sains masing-masing enam dan tiga waktu seminggu.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Datu William Patrick Nyigor dan Timbalan Setiausaha Tetap Dr Abdul Rahman Deen.