Latih belia erti perjuangan

BINTULU: Golongan belia merupakan harapan dan masa depan negara serta menjadi asas kemajuan sesebuah negara mahupun negeri. Adun Samalaju Majang Renggi berkata, menjadi tanggungjawab belia untuk meningkatkan usaha dan pencapaian dalam bidang masing-masing sama ada pendidikan, sukan, pertanian, pengeluaran produk dan sebagainya.

Menurutnya, keterlibatan belia penting sebagai pemangkin perubahan dalam proses transformasi negeri. “Ini kerana golongan terbabit merupakan kelompok penting dalam pembangunan negara dan negeri di samping merupakan pemegang taruh yang proaktif dan dinamik untuk menentukan hala tuju bangsa dan negara.

“Peranan belia hari ini bukan sekadar untuk berjaya dalam kerjaya tetapi juga berusaha membangunkan negeri dan negara ke arah kemajuan dan kegemilangan dalam acuan kita sendiri selaras dengan sasaran mencapai status negeri maju menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Santai Argo Bersama Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) Ngan Belia Samalaju dan Sesi Taklimat Umum di salah sebuah hotel, di sini baru-baru ini.

Majang turut menggesa penyertaan aktif belia dalam organisasi atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai platform untuk memupuk nilai kepemimpinan generasi muda dalam masyarakat.

“Ini untuk melatih belia erti perjuangan, memupuk semangat bekerjasama bagi mencapai matlamat yang dikehendaki,” tambahnya.

Terdahulu, Exco Pemuda PRS Samalaju Sam Tugau berharap belia di kawasan terbabit dapat berusaha memastikan kesinambungan pembangunan dapat dinikmati semua. Menteri Muda Belia dan Sukan yang juga Ketua Pemuda PRS Datuk Snowdan Lawan hadir merasmikan program tersebut.

Suara Sarawak