Latihan seperti biasa

SKUAD Sarawak United I masih mengadakan latihan seperti biasa yang bersesuaian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan bulan Ramadan.

Pengurus Pasukan SUFC I, Afiq Fikri Brahim berkata, pasukannya masih mengadakan latihan individu seperti biasa seperti yang ditetapkan oleh jurulatih di kediaman masing-masing sepanjang bulan Ramadan dan PKP.

“Walaupun bulan Ramadan kita dalam tempoh PKP, pemain masih perlu mengekalkan kecergasan fizikal kerana kita tidak tahu bila liga akan berlangsung semula,” katanya semasa dihubungi oleh Suara Sarawak kelmarin.

Beliau berkata, semua pemain dan pasukan kejurulatihan serta teknikal dinasihatkan agar kekal aktif dan cergas di samping menjaga kesihatan diri dan amalan sepanjang bulan puasa.

“Saya berharap pasukan terus kekal aktif dan cergas serta menjaga keselamatan diri sekiranya keluar membeli barang keperluan,” ujarnya.

Skuad itu dibarisi pemainpemain berpengalaman seperti Amri Yahya, Asri Chuchu, Alan Lagang, A.Asri dan beberapa pemain import terbaik yang lain.

Pasukan yang baharu dibentuk untuk mewakili Sarawak ke perlawanan Liga Premier itu kini ditangga ke sembilan daripada 12 pasukan yang turut berentap dalam aksi liga.

Suara Sarawak