Lawas kembali hijau

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) hari ini melaporkan Daerah Lawas telah kembali berstatus hijau.

JPBN dalam satu kenyataan berkata, tiada kes jangkitan tempatan dilaporkan di Daerah Lawas dalam tempoh 14 hari yang lalu dengan jumlah daerah berstatus hijau di negeri ini kekal sebanyak empat daerah.

Sementara, katanya, Daerah Belaga dan Kanowit telah bertukar status kepada merah daripada jingga setelah masing-masing merekodkan sejumlah 45 kes dan 56 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

“Ini menjadikan jumlah daerah berstatus merah telah meningkat kepada 18 daerah.

“Manakala jumlah daerah berstatus jingga telah menurun kepada enam,” jelasnya.

Jawatankuasa itu memberitahu, Daerah Pusa pula telah bertukar status daripada hijau
kepada kuning setelah merekodkan satu kes jangkitan tempatan baharu hari ini.

“Jumlah daerah berstatus kuning adalah sebanyak 12 daerah,” katanya

Dalam pada itu, JPBN telah membuat keputusan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Rh. Tang, Teluk Batu Bintangor, Sarikei (16-29 April 2021), Rh. Naning, Sg Baji, Sarikei (16-29 April 2021), Rh. Juni, Ulu Pandanum, Pakan (17-30 April 2021) dan Taman Mesra Bako, Kuching (18 April – 1 Mei 2021).

Suara Sarawak