ARTIKEL

Awang Tengah (dua kiri), Len (empat kiri) dan rombongan mendengar taklimat mengenai produk gentian buluh oleh Eugene (kiri).

Lawatan kerja ke China terokai pembangunan industri berasaskan buluh dan pembungkusan halal

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, baru-baru ini mengadakan lawatan kerja ke kilang G-COVE Technologies Co Ltd di Chengdu, China.

Ketibaannya dan rombongan disambut oleh Presiden G-COVE, Eugene Chua, yang memberi taklimat tentang operasi syarikat tersebut.

Menurut Eugene, G-COVE merupakan salah satu pengeluar produk pembungkusan berkualiti tinggi daripada gentian buluh.

“Produk pembungkusan gentian berasaskan buluh kami adalah terbiodegradasi dan mesra alam yang boleh menggantikan plastik dan mendapat permintaan tinggi daripada industri makanan di banyak negara,” katanya.

Produk pembungkusan oleh G-COVE adalah produk pertama yang disahkan halal dan mendapat permintaan daripada pengguna Islam di China, negara-negara Timur Tengah dan Malaysia, terutamanya bagi pembungkusan makanan.

G-COVE melabur pada teknologi terkini untuk memastikan produk pembungkusan berkualiti tinggi dan inovatif.

Sementara itu, Awang Tengah memaklumkan kepada Eugene bahawa perniagaan G-COVE sejajar dengan aspirasi Sarawak untuk menggalakkan pembangunan industri berasaskan buluh sebagai inisiatif pertumbuhan baharu di bawah dasar ekonomi hijau.

“Kami mempunyai tanah, infrastruktur yang baik dan tarif elektrik hijau yang kompetitif di Sarawak dan saya ingin menjemput G-COVE untuk mempertimbangkan Sarawak sebagai pangkalan mereka bagi pengembangan untuk memenuhi produk pembungkusan halal dan biodegradasi yang semakin meningkat, terutamanya di rantau Asia Tenggara”, kata Timbalan Premier itu lagi.

Lawatan kerja ini bertujuan untuk menilai teknologi dan produk yang sesuai bagi industri pemprosesan buluh di Sarawak.

Ia juga bagi menarik pelabur berpotensi di China untuk meneroka potensi melabur dalam kemudahan pemprosesan buluh di Sarawak.

Turut menyertai Awang Tengah dalam lawatan itu ialah Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Seri Naroden Majais, serta pegawai-pegawai kanan lain dari pelbagai agensi kerajaan berkaitan.

Awang Tengah (berdiri 11 kanan) dan rombongan bergambar semasa lawatan kerja ke kilang G-COVE Technologies Co. Ltd di Chengdu, China.

BERITA LAIN

Kerap pantau harga barang

SIBU: Impak kenaikan harga diesel di Semenanjung kemungkinan akan memberi kesan kepada Sabah dan Sarawak. Kebimbangan ini disuarakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit

PKR Kelantan wujudkan NGO Anak Muda MADANI

PASIR MAS, Kelantan: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan akan membentuk satu badan bukan kerajaan (NGO) khas yang dikenali sebagai Anak Muda MADANI bagi menyantuni golongan

BERITA TERBARU