ARTIKEL

Lawatan terbaru Anwar pamer hubungan rapat M’sia-Arab Saudi – Penganalisis

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Lawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi baru-baru ini yang juga merupakan lawatan keempatnya ke negara Arab itu sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia, menandakan hubungan rapat beliau dengan Putera Mahkota negara berkenaan yang juga Perdana Menteri Mohammed Salman.

Felo Penyelidik Utama di Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Zaid Ahmad berkata, kehadiran Anwar ke Arab Saudi melalui jemputan peribadi Putera Mahkota sendiri juga mengukuhkan kedudukan Perdana Menteri sebagai salah satu suara utama negara-negara membangun.

“Walaupun sebelum ini Anwar sudah mencipta nama dan mendapat perhatian kerana kritikannya terhadap hipokrasi negara-negara Barat dalam mengendalikan isu Palestin, ucapannya di Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Riyadh terus menarik perhatian disebabkan kritikannya terhadap negara-negara kuasa besar.

“Anwar menegaskan kuasa ekonomi utama tidak boleh memberi arahan kepada negara lain termasuk Malaysia untuk menurut sahaja kehendak mereka. Mereka mesti mematuhi peraturan negara berkenaan dan tidak mengenakan sebarang syarat atau tuntutan yang menjejaskan hala tuju dan dasar ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan.

Anwar berada di Arab Saudi selama dua hari bagi menyertai Mesyuarat Khas WEF di Riyadh dengan tema “Kerjasama Global, Pertumbunan dan Tenaga untuk Pembangunan” yang berakhir Isnin, menyaksikan beliau dijemput menyampaikan ucapan di sesi pembukaan persidangan pleno. 

Zaid berkata, forum antarabangsa seperti Mesyuarat Khas WEF adalah penting kerana ia membolehkan Anwar menegaskan pendirian Malaysia dalam isu geopolitik serantau di hadapan pemimpin dunia, terutama kerana suaranya semakin dilihat mewakili suara banyak negara lain.

Selain menghadiri Mesyuarat Khas WEF, Perdana Menteri juga mengetuai delegasi Malaysia dalam “Dialog Strategi Serantau Bersama berkaitan Asean – Majlis Kerjasama Teluk (GCC)” yang menyaksikan beliau mengetengahkan beberapa keutamaan Asean, ketika Malaysia sedang bersedia menjadi pengerusi perkumpulan serantau itu tahun depan.

Beliau berkata, sepanjang dua hari berada di Arab Saudi, Anwar turut mengambil kesempatan bertukar pandangan dengan pemimpin negara lain seperti Presiden Rwanda, Perdana Menteri Jordan, Perdana Menteri Pakistan, Perdana Menteri Qatar, Menteri Luar Turkiye dan Menteri Kewangan Indonesia.
Menurutnya Anwar bersama dengan delegasinya telah mengadakan beberapa mesyuarat penting dengan pemimpin-pemimpin global dalam misi meneroka pelbagai peluang ekonomi di samping menarik pelaburan baharu ke negara ini.

“Dengan penjelasan Anwar yang cukup meyakinkan mengenai kemajuan Malaysia dan kewujudan peluang perdagangan serta pelaburan yang luas di sini, ramai pemimpin industri dan perniagaan yang hadir menyatakan minat melabur di Malaysia dalam pelbagai bidang.

“Semua ini bukti Anwar ialah ‘jurujual’ terhebat Malaysia, dan dengan suaranya yang semakin kuat dalam forum antarabangsa, beliau kini semakin diiktiraf sebagai salah seorang jurucakap tertinggi negara dunia ketiga,” katanya.
Bernama

BERITA LAIN

Polis buru 10 ahli kumpulan jenayah terancang

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan 10 individu disyaki terlibat dalam kumpulan jenayah terancang yang terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah di sekitar Selangor. Pengarah Jabatan Siasatan

BERITA TERBARU

Projek pembangunan giat dijalankan di sekitar Debak

SARIBAS: Beberapa pembangunan di kawasan sekitar Daerah Kecil Debak telah dipergiat bagi memastikan kawasan tersebut terus menikmati kemajuan. Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti