Layanan mesra petugas kesihatan hilangkan gementar

SARIKEI: Kanak-kanak berusia enam tahun menjadi salah seorang individu terawal menjalani ujian saringan Covid-19 di gelanggang Bola Keranjang Taman Susur Jambu, di sini, hari ini.

Fathiya Ainul Zara Mohamad Halpi, 6, yang ditemani ibu bapanya berada di tapak saringan itu sejak jam 8.00 pagi lagi.

Bapanya, Mohamad Halpi, 42, berkata, anak bongsunya itu kelihatan teruja sebaik sahaja mendapat tahu akan menjalani ujian berkenaan.

“Layanan baik petugas kesihatan menghilangkan perasaan takut dan gementar kami . Walaupun bermula agak lambat kerana terpaksa menunggu giliran, kami sekeluarga akhirnya berjaya menjalani saringan.

“Fathiya kelihatan biasa pada mulanya, tetapi menangis selepas dicucuk hidung. Itu tidak mengapa dan perkara biasa bagi seorang kanak-kanak. Lagi pun, proses itu (calitan) hanya sekejap sahaja,” katanya kepada Suara Sarawak.

Aktiviti pengesanan Kes Secara Aktif (ACD) di kawasan perumahan Susur Jambu dilaksanakan tiga hari dan berakhir pada 20 April.

Dalam pada itu, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tetap diutamakan dan tindakan bijak penduduk yang hadir melakukan saringan Covid-19 mampu membantu memutuskan rantaian penularan Covid-19.

Sehubungan itu, Pejabat Kesihatan Sarikei menggesa kerjasama penduduk agar hadir beramai-ramai selain memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan ACD berjalan lancar.

Fathiya Ainul Zara Mohamad Halpi, 6, antara kanak kanak yang hadir di pusat ACD.

Suara Sarawak