Lebih 100 ahli baharu sertai SUPP Sarikei

SARIKEI: Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) cawangan Sarikei menerima kemasukan lebih 100 orang ahli baharu, hari ini.

Mereka terdiri daripada bekas Parti Rakyat Bersatu (UPP) manakala selebihnya, individu perseorangan yang tidak mewakili mana- mana parti.

Majlis penyertaan baju dan kad keahlian disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii dalam majlis jamuan makan tengah hari selepas mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) Induk Pemuda dan cawangan Wanita cawangan Sarikei.

Huang yang juga Pengerusi Cawangan SUPP Sarikei berkata, beliau sentiasa mengalu-alukan kemasukan ahli baharu itu dan berharap mereka berjuang dengan ikhlas.

Penyertaan ahli berkenaan katanya, mengukuhkan lagi perjuangan mereka dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menghadapi pilihan raya negeri akan datang.

“Yang pasti, lebih ramai akan menyertai SUPP Sarikei namun kita terpaksa melakukannya secara peringkat kerana masih menunggu kad keahlian yang kini sedang diproses di Kuching,” katanya kepada wartawan.

Dato’ Sri Huang mengabadikan kenangan bersama ahli baharu yang menyertai SUPP Sarikei.

Sehubungan itu, beliau amat menghargai sokongan padu Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam meningkatkan taraf hidup rakyat khususnya di kawasan DUN Repok.

Hasil komitmen padu kerajaan di bawah kepimpinan Ketua Menteri katanya, rakyat berpeluang menikmati taraf hidup yang lebih baik berbanding sebelum ini.

“Kerajaan GPS merancang dan melaksanakan kesemua projek itu dalam konteks pembangunan menyeluruh yang bakal mengubah nasib rakyat persisir Sarawak termasuk di Lembah Rajang.

“Projek pembinaan Jambatan Batang Rajang dan jalanraya ke Tanjung Manis merupakan sebahagian usaha penting kerajaan untuk meningkatkan taraf ekonomi penduduk.

“Kesemua projek ini juga bakal mengubah wajah kawasan ini termasuk Tanjung Manis dan sekitarnya selain mendokong beberapa lagi perancangan projek pembangunan yang baharu bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh segenap lapisan rakyat,” tambahnya.

Program dihadiri seramai 200 orang ahli parti. Hadir sama Naib Pengerusi SUPP Sarikei, Kapitan Ling Dien Yong.

Suara Sarawak