KUCHING: Lebih 100 petinju dari seluruh negara termasuk empat dari luar negara mengesahkan penyertaan pada Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak 2023 Edisi Ke-2 yang dijadual berlangsung pada 19 hingga 26 Ogos ini di Stadium Tertutup Sri Aman.
Presiden Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) Datuk Rahman Lariwoo memberitahu, empat negara yang mengesahkan penyertaan pada edisi kali ini ialah Indonesia (Batam, Kalimantan), Singapura, Jepun dan Thailand.
Katanya, saingan kali ini akan dihangatkan dengan beberapa perlawanan profesional membabitkan petinju antarabangsa serta petinju tempatan.
“Petinju elit dan Sukma dari seluruh negeri termasuk penampilan petinju dari beberapa negara jiran seperti Batam, Kalimantan, Singapura, Jepun dan Thailand bakal menghangatkan saingan selama sepuluh hari itu.
“Namun tumpuan utama pada malam kemuncak yang menyaksikan pertembungan petinju profesional membabitkan pemenang pingat emas Sukma 2022, Daeloniel McDelon Bong atau ‘Kilat Boy’ yang merupakan anak jati Sri Aman yang akan menentang petinju dari Thailand, Sonran Sopakul,” ujar Rahman sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat persiapan penganjuran kejohanan itu di Sri Aman pada Jumaat lalu