KUCHING: Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Kuching 2023 yang bakal berlangsung esok dijangka akan dihadiri lebih 1,000 perwakilan.
Acara sempena ulang tahun Kemerdekaan Sarawak Ke-60 itu turut menjadi acara julung kali diadakan di Pusat Acara Hikmah Exchange.
Difahamkan, perwakilan terdiri daripada badan pusat parti, sayap wanita dan pemuda termasuk 26 ketua cawangan parti dari PBB Opar sehingga PBB cawangan Gedong.
Premier Sarawak merangkap Presiden PBB Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka akan hadir pada jam 12 tengah hari untuk menyampaikan ucaptama.
Selain itu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden Kanan PBB Datuk Seri Fadillah Yusof juga akan menyampaikan ucapannya pada konvensyen yang dijangka berlangsung dari jam 7.30 pagi hingga 3 petang.
Sementara itu, pada sesi pagi antara lain, perwakilan akan menyertai pelbagai ceramah dan perbincangan yang dijalankan sebagai sebahagian daripada konvensyen tersebut.
Terdahulu, pada 2 September, Abang Johari dalam sidang media berkata Konvensyen PBB dianjurkan bagi memberi penjelasan lebih mendalam mengenai hala tuju kerajaan termasuk dasar ekonomi baharu negeri.
Selain Kuching, konvensyen itu juga akan diadakan di Betong, Sibu dan Bintulu dengan bertemakan ‘PBB Teras Kestabilan, Kemajuan dan Kemakmuran Sarawak’. Konvensyen itu akan terus diadakan di Betong pada 8 Okt; di Sibu pada 29 Okt dan di Bintulu pada 11 Nov.
