ARTIKEL

Abdul Karim (duduk tengah) bercakap pada sidang media yang diadakan di Bilik Media Bangunan DUN, hari ini. - Foto: Mohd Alif Noni

Lebih 1,000 peserta disasar cipta rekod baharu bagi Acara Tarian Warna Keharmonian pada 19 Mei

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Lebih 1,000 peserta disasarkan untuk menyertai Acara Tarian Warna Keharmonian yang akan diadakan pada 19 Mei ini bagi mencatat rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata acara yang diadakan di Tebingan Kuching itu bakal mencatatkan rekod baharu dalam MBOR menerusi penglibatan peserta terbanyak memakai pakaian etnik bagi persembahan tarian beramai-ramai.

‘’Dianjurkan oleh ‘The Rotary Club of Kuching’ dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), acara ini bukan sekadar percubaan untuk mencipta rekod, ia adalah usaha mempromosikan warisan budaya unik yang terdapat di Malaysia amnya dan Sarawak khasnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Acara Tarian Warna Keharmonian di Bilik Media Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, kata Abdul Karim, acara yang bakal disempurnakan oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg itu juga akan menyaksikan penglibatan pelbagai peserta dari Sarawak dan peringkat antarabangsa yang akan memperagakan pakaian etnik tradisional masing-masing.

Acara ini bukan sahaja akan menampilkan keunikan dalam persembahan tarian tetapi juga bukti komitmen komuniti di Sarawak untuk memelihara dan mempromosikan warisan budaya di negeri ini.

“Sarawak adalah rumah kepada sekurang-kurangnya 34 kumpulan etnik berbeza, masing-masing menyumbang kepada pelbagai keunikan yang menjadikan negeri kita begitu istimewa.

“Daripada Iban, Bidayuh, Melanau dan Orang Ulu kepada masyarakat Melayu, Cina, dan India.

“Justeru, kita adalah bukti kepada keindahan kepelbagaian budaya,” ujarnya.

Gabenor Daerah Antarabangsa Rotary 3310 (Sarawak), Dr John Chan, turut mengalu-alukan golongan warga emas untuk menyertai acara itu dengan mendaftarkan diri melalui kod QR yang disediakan kelak.

“Orang ramai juga boleh mendaftar di lokasi, dan lebih baik datang dengan kelengkapan pakaian etnik masing-masing,” tambahnya.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting Ching Yew, Datuk Bandar Kuching Utara, Hilmy Othman, dan barisan kenamaan lain.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU