Lebih 10,000 pengunjung sambutan Hari Malaysia 2019

KUCHING: Stadium Perpaduan kini dibanjiri kira-kira lebih 10,000 orang pengunjung untuk menyaksikan sambutan Hari Malaysia 2019 Peringkat Kebangsaan, yang akan bermula jam 8.30 malam ini.

Pelbagai acara persembahan menarik membabitkan lebih 1,000 peserta akan memeriahkan sambutan ini, bagi meraikan ulang tahun ke-56 pembentukan Malaysia.

Ia termasuk pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain persembahan citrawarna memaparkan perubahan yang berlaku sejak era 1960-an ketika Malaysia baru ditubuhkan melalui penyertaan Sabah dan Sarawak, sehingga kemakmuran dinikmati kini.

Sambutan Hari Malaysia 2019 Peringkat Kebangsaan akan dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Ragad Kurdi Taib bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta barisan Kabinet Persekutuan dan negeri.

Aturcara bermula dengan ucapan aluan Abang Johari selaku tuan rumah sambutan kali ini pada jam 8.40 malam disusuli amanat Perdana Menteri.

Sambutan kemudian diteruskan dengan perarakan masuk peserta konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang, disusuli upacara menaikkan Jalur Gemilang oleh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan simbolik perasmian sambutan oleh Abdul Taib diikuti persembahan khas.

Stadium Perpaduan kini dipenuhi pengunjung untuk menyaksikan sambutan Hari Malaysia 2019 Peringkat Kebangsaan malam ini. – Gambar oleh Nadim Bokhari