BINTANGOR: Lebih 300 penduduk kampung berpeluang mendapatkan rawatan dan khidmat kesihatan percuma menerusi Program Khidmat Komuniti yang berlangsung di Dewan Kampung Tanjung Bundong, di sini, hari ini.
Program berkenaan melibatkan 14 doktor pakar yang menawarkan kepakaran dalam pelbagai bidang, sekali gus memberi manfaat besar kepada penduduk setempat, khususnya mereka yang tinggal jauh dari kemudahan kesihatan.
Program itu dianjurkan oleh Pusat Khidmat Parlimen Tanjong Manis dengan kerjasama Kelab Lions Seduan Sibu, Rejang Medical Centre (RMC) dan Rejang Charity.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab, berkata program berkenaan merupakan penganjuran kali keempat selepas kejayaan pelaksanaannya di Pulau Bruit, Belawai dan Sare sebelum ini.
Menurut beliau, pemilihan lokasi program dibuat berdasarkan keperluan penduduk di kawasan yang jauh daripada klinik atau hospital, bagi memastikan akses kesihatan dapat dinikmati secara lebih menyeluruh.
“Saya mewakili seluruh penduduk kampung ingin menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pengamal perubatan yang sanggup mengorbankan masa serta tenaga untuk mencurahkan bakti kepada masyarakat,” katanya kepada media selepas merasmikan program itu.
Beliau berkata, penglibatan doktor dan sukarelawan perubatan tanpa sebarang bayaran mencerminkan semangat pengorbanan dan keprihatinan yang tinggi terhadap kesejahteraan masyarakat luar bandar.
“Program seperti ini bukan dianjurkan sekali sahaja.
Kita telah melaksanakannya di beberapa lokasi termasuk Pulau Bruit, Kampung Betanak, Belawai, Sare dan kini di Tanjung Bundong,” katanya.
Menurut Yusuf, antara perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan termasuk kepakaran ortopedik, pediatrik, kesihatan wanita, oftalmologi (mata), telinga, hidung dan tekak (THT), pembedahan serta pemeriksaan kesihatan am.
Selain itu, pemeriksaan asas seperti ujian paras glukosa turut disediakan bagi membantu pengesanan awal masalah kesihatan dalam kalangan penduduk.
Beliau berharap penduduk dapat memanfaatkan sepenuhnya khidmat dan nasihat yang diberikan oleh pakar serta mengambil langkah susulan di klinik atau hospital berhampiran bagi memastikan penjagaan kesihatan yang berterusan.
Dalam pada itu, Yusuf turut menyumbangkan RM3,000 bagi membantu melancarkan penganjuran program berkenaan sebagai komitmen berterusan beliau terhadap kebajikan dan kesihatan rakyat di kawasan Parlimen Tanjong Manis.





