Lebih 31,000 peluang kerja dalam lima tahun

KUCHING: Jumlah pelaburan diluluskan untuk sektor pembuatan Sarawak di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) adalah RM51.9 bilion, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (Mintred) itu berkata, untuk tempoh lima tahun itu (2016 hingga 2020), sekitar 31,900 peluang pekerjaan baharu diwujudkan hasil pelaburan itu.

“Pelaburan Langsung Asing (FDI) menyumbang 57.8 peratus atau RM30 bilion daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, sementara pelaburan langsung domestik (DDI) merangkumi baki 42.2 peratus atau RM21.9 bilion.

“Prestasi negeri dalam menarik pelaburan setakat ini sangat terpuji walaupun terdapat persaingan kuat dari negeri lain dan negara jiran,” katanya dalam ucapan penggulungan Mintred pada Persidangan Dun di sini, semalam.

Mengulas mengenai prestasi pembuatan negeri pada 2020 katanya, setakat ini Jawatankuasa Penyelarasan Perindustrian Negeri (ICC) meluluskan 56 projek pelaburan.

“Keseluruhannya berjumlah RM21.6 bilion dan mewujudkan sekitar 11,600 peluang pekerjaan baharu untuk Sarawak.

“Daripada jumlah itu, 19 projek Akta Koordinasi Industri 1975 (ICA) berjumlah RM15.8 bilion, terutamanya dalam produk logam asas, produk berasaskan kayu dan produk peralatan pengangkutan.

“Diharapkan semua projek dapat mewujudkan sekitar 6,000 peluang pekerjaan di Sarawak,” ujarnya.

Sementara 37 projek ICC berjumlah RM5.8 bilion dalam produk elektrik dan elektronik, produk mineral bukan logam, produk berasaskan kayu, tenaga boleh diperbaharui, produk peralatan pengangkutan dan lain-lain.

“Pelaburan ini dijangka menghasilkan sekitar 5,600 peluang pekerjaan di negeri,” katanya lagi.

Suara Sarawak