Lebih 37.5 darjah Celsius tidak dibenar masuk

KUCHING: Sesiapa yang mencatat keputusan suhu badan melebihi 37.5 darjah Celsius selepas diperiksa tidak dibenarkan masuk ke dalam mana-mana premis.

Prgawai Tadbir Khas Pejabat Residen Kuching Dr Cheong Yaw Liang berkata, ada petugas yang tidak mengetahui had suhu badan individu sepatutnya yang dibenarkan memasuki mana-mana premis.

“Ada petugas yang memeriksa suhu badan ini membenarkan individu masuk sesuka hati walaupun suhu badan melebihi had yang ditetapkan.

“Seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia, individu dengan bacaan suhu tidak melebihi had 37.5 darjah Celsius tidak dibenarkan masuk.

“Penjaga pintu masuk ini perlu mengetahui suhu berbeza individu yang mungkin mempunyai demam iaitu antara 37.4 hingga 37.8 darjah Celcius.

“Individu yang dikesan memiliki suhu tinggi juga tidak dibenarkan masuk kerana mempunyai tanda demam ringan.

“Apatah lagi apabila suhu badan seseorang itu mencecah 38 darjah Celcius, yang pastinya tidak dibenarkan memasuki mana-mana premis,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu video pendek mengenai kesedaran kepada orang awam melalui laman Facebooknya baru-baru ini. “Teruskan berjuang memerangi Covid-19,” jelasnya dalam perkongsian video tersebut.