Lebih 400 sertai Lan Berambeh Makan Durian di Bintulu

BINTULU: Lebih 400 pengunjung membanjiri Tapak Niaga Assyakirin, di sini untuk sama-sama memeriahkan program Nay Telow Penyak Pagen 2019(Lan Berambeh Makan Durian).

Program julung kali anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu(PBB). N.67 Jepak dan Pusat Khidmat DUN N.67 Jepak dengan kerjasama Jabatan Pertanian Bahagian Bintulu dan NGO sekitar Bintulu ini nyata mendapat sambutan di luar jangkaan apabila pengunjung yang terdiri daripada penduduk setempat berpusu-pusu ke tapak program seawal jam 9 pagi.

Sebanyak 2,000 biji durian dari pelbagai spesies seperti durian tempatan, tembaga, Hajah Rosmah yang didatangkan khas dari Bekenu disediakan secara percuma kepada pengunjung.

Pelbagai aktiviti menarik seperti Teka Berat Durian, Durian Challenge(Pertandingan Makan Durian), pertandingan Durian Terbesar dan Terbaik, masakan berasaskan durian, pameran pelbagai jenis durian antara pengisian sepanjang program yang bermula dari jam 9 pagi hingga 4 petang.

Turut diadakan juga demonstrasi cantuman tunas, jualan anak pokok durian, Durian Talk(Pengurusan Kebun Durian) dan acara cabutan bertuah.

Simbolik perasmian disempurnakan Temenggong Haji Rosli Kamaruddin mewakili Menteri Di Jabatan Ketua Menteri(Integriti dan Ombudsman) merangkap ADUN Jepak Datuk Haji Talib Zulpilip.

Suara Sarawak