Lebih 44 juta keping penutup hidung dan mulut diedar ke seluruh negara – NADMA

KUALA LUMPUR: Lebih 44 juta keping penutup hidung dan mulut telah diedarkan untuk kegunaan petugas barisan hadapan dan orang ramai di seluruh negara setakat 18 April lepas.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), daripada jumlah itu, sebanyak 11.9 juta adalah untuk petugas barisan hadapan manakala 32.6 juta diedarkan secara berperingkat kepada 8.163 juta isi rumah bermula 2 April lepas.

Pengagihan dibuat kepada semua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) iaitu Angkatan Pertahanan Awam dan setiap paket berisi empat keping penutup hidung dan mulut ini dilabel sebagai pemberian Kerajaan Malaysia.

“Bagi urusan logistik, JPBN mengagihkan penutup hidung dan mulut ini kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah.

“Kemudiannya diserahkan kepada Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, Ketua Kampung, Ketua Komuniti Persatuan Penduduk, Badan Pengurusan Bersama atau Perbadanan Pengurusan untuk membantu proses agihan kepada setiap isi rumah di lokaliti masing-masing,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Selain itu, NADMA memaklumkan Malaysia turut menghantar sumbangan penutup hidung dan mulut sebanyak 1 juta keping ke Palestin dan 2 juta keping ke Bosnia Herzegovina.

Sementara itu, sehingga 20 April 2020, Tabung COVID-19 telah menerima sumbangan berjumlah RM27.8 juta, termasuk RM1 juta sumbangan Kerajaan Malaysia.

Daripada jumlah ini, sebanyak RM14.7 juta telah disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga serta Yayasan Kebajikan Negara bagi meningkatkan kemampuan kedua-dua agensi dalam mengagihkan bantuan kepada golongan memerlukan di seluruh negara.

Sebanyak RM320,000 telah disalurkan sebagai Bantuan Khas Pengurusan Kematian untuk 64 kematian manakala RM42,700 diserahkan sebagai Bantuan Khas Hilang Pendapatan kepada 31 individu yang hilang pendapatan sepanjang berada di hospital akibat positif COVID-19 atau telah diarahkan menjalani kuarantin (individu kontak rapat) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.