KUCHING: Seramai 6,637 pelajar Tingkatan 6 di Sarawak layak menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM995,550, manakala 329 pelajar lagi layak menerima bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) susulan peluasan bantuan itu kepada murid Tingkatan 6 mulai tahun ini.
Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli berkata, setiap pelajar yang layak akan menerima bantuan sebanyak RM150 bagi memastikan mereka daripada keluarga miskin dapat meneruskan persekolahan tanpa tercicir.
“Secara keseluruhannya, seramai 145,002 murid di Sarawak layak menerima bantuan KWAPM tahun ini membabitkan peruntukan sebanyak RM17.82 juta, dengan murid sekolah menengah menerima RM150 seorang, manakala murid sekolah rendah RM100 seorang,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pada tahun ini bantuan KWAPM telah diperluaskan kepada pelajar Tingkatan 6 bagi memastikan kebajikan dan kelangsungan peluang pendidikan mereka.
Katanya, sejumlah RM4.69 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Bantuan Am Persekolahan (BAmP) yang memberi manfaat kepada lebih 31,000 pelajar Tingkatan 6 daripada keluarga miskin.
“Bantuan KWAPM terdiri daripada dua jenis, iaitu Bantuan Am Persekolahan (BAmP) dan Bantuan Kecemasan (BK).
“Ia bertujuan memberikan bantuan kepada pelajar miskin supaya tidak tercicir dalam meneruskan persekolahan,” katanya.





