Trending

Lebih 70,000 rakyat Thailand daftar undi luar negara

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

BANGKOK: Lebih 70,000 rakyat Thailand di luar negara mendaftar untuk mengundi awal bagi Pilihan Raya Umum pada 14 Mei.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Konsular Kementerian Luar Thailand, Ruj Thammongkol berkata pendaftaran untuk pengundian di luar negara yang bermula 25 Mac dan berakhir pada 9 April.

“Sehingga 7 April, seramai 72,779 pengundi mendaftar untuk mengundi di luar negara.

“Dijangka ia (jumlah pemilih) akan mencecah jumlah pengundi luar negara yang mendaftar bagi pilihan raya 2019, iaitu sekitar 119,313 orang,” katanya.

Bagi memastikan pendaftaran undi berkenaan boleh diakses oleh semua warga Thailand yang tinggal di luar negara, Ruj berkata Kementerian Luar bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri yang bertanggungjawab mengendalikan sistem pendaftaran pengundian luar negara dalam talian.

“Penambahbaikan sistem pendaftaran dalam talian dibuat bagi memastikan pendaftaran berjalan cepat dan lancar,” katanya.

Ruj berkata MFA melancarkan Penyelarasan Pengundian Luar Negara di Jabatan Hal Ehwal Konsular untuk meningkatkan persiapan pilihan raya di luar negara dan mengelakkan isu-isu lain berdasarkan pengalaman terdahulu.

“Bagi Penyelarasan Pengundian Luar Negara, pegawai ditugaskan untuk memantau perkembangan terkini daripada Kedutaan Diraja Thailand atau Konsulat Jeneral menggunakan Sistem Pemantauan Pengundian Luar Negara (OVMS), yang akan mengenaskini masa nyata dari seluruh dunia, demi memastikan kelancaran dan aturan yang telus,” katanya.

Pengundi di luar negara akan melaksanakan tanggungjawab mereka di kedutaan atau konsulat jeneral atau mengundi melalui pos, di negara masingmasing sebelum undi mereka dikira di Thailand.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 Mei sebagai tarikh pilihan raya umum manakala pengundian awal pada 7 Mei. – BERNAMA

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

10 Disember 2023

Berita Terbaru